Crossover elektrik GWM Ora 5 telah tampil di Bangkok International Motor Show 2026 dengan satu tambahan penting, iaitu varian hibrid yang dikenali sebagai Ora 5 HEV. Selain versi hibrid ini, model elektrik sepenuhnya (EV) yang telah dilancarkan di China pada suku keempat tahun lalu turut dipamerkan, termasuk unit berwarna hijau zamrud.
Menurut GWM Thailand, Ora 5 HEV ditawarkan pada harga bermula 729,000 baht (RM88,543). Dari segi dimensi, kedua-dua versi EV dan HEV adalah sama, dan ditawarkan dalam dua varian iaitu Pro dan Ultra untuk pasaran Thailand.
Ora 5 mempunyai ukuran panjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm dan tinggi 1,641 mm, dengan jarak roda 2,720 mm. Lebar trek roda hadapan dan belakang masing-masing ialah 1,583 mm dan 1,577 mm, manakala kelegaan tanah bagi crossover lima-tempat duduk ini ialah 175 mm.

Bagi varian hibrid, ia dilengkapi enjin petrol 1.5 liter turbo empat-silinder yang menghasilkan 150 PS pada julat 5,500 hingga 6,000 rpm serta tork 240 Nm antara 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik jenis magnet kekal yang menjana 190 PS dan 236 Nm, dengan tenaga disimpan dalam bateri lithium-ion berkapasiti 1.03 kWh.
Gabungan sistem hibrid ini memberikan jumlah kuasa 223 PS dan tork 476 Nm. Kapasiti tangki bahan api pula ialah 55 liter. Berdasarkan laporan Autolife Thailand, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j, serta mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l.
Dari segi casis, Ora 5 HEV menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, sama seperti versi EV. Sistem stereng kuasa elektrik turut digunakan, manakala brek terdiri daripada cakera berpengudaraan di hadapan dan cakera pepejal di belakang. Ia dipadankan dengan rim aloi 18-inci bersama tayar bersaiz 225/60R18.
Untuk kelengkapan luaran, model ini dilengkapi lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, spoiler belakang dengan lampu brek tinggi, pintu but manual, pengelap cermin hadapan dengan sensor hujan, cermin sisi larasan kuasa serta rel bumbung.
Di dalaman, Ora 5 HEV hadir dengan paparan instrumen digital bersaiz 10.25-inci dan skrin infotainmen 14.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem ini turut menawarkan sambungan Bluetooth, navigasi pintar, kawalan suara dalam bahasa Thai dan Inggeris, fungsi telematik, kawalan kenderaan melalui aplikasi mudah alih serta kemas kini perisian over-the-air.
Sistem audio standard menggunakan enam pembesar suara, manakala varian Ultra dinaik taraf kepada sembilan pembesar suara dengan kawalan volum sensitif kelajuan. Dari segi sambungan peranti, terdapat pengecas tanpa wayar 50 watt, satu port USB-A dan satu USB-C di bahagian hadapan serta satu lagi USB-C untuk penumpang belakang.

Tempat duduk pemandu dilengkapi pelarasan kuasa enam-arah untuk semua varian, manakala varian Ultra menambah fungsi pengudaraan dan memori tiga tetapan. Tempat duduk penumpang hadapan bagi varian Pro menggunakan pelarasan manual empat arah, sementara varian Ultra menawarkan pelarasan kuasa serta fungsi pengudaraan.
Keseluruhan kabin menggunakan kemasan kulit buatan, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, disertakan perehat kepala tengah dan stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaras dari segi jangkauan dan kecondongan.
The post GWM Ora 5 Hybrid dipamer di Thailand — 1.5L turbo petrol dengan e-motor, 223 PS/476 Nm; dari RM88k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































