Selain mendedahkan model baharu yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan, GWM Malaysia turut mengumumkan langkah strategik untuk tahun 2026 hingga 2028, sekaligus membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam mengukuhkan pasaran automatifnya dalam negara.

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan syarikat ini, sepanjang tahun 2025, pihaknya telah merekodkan hampir 5,900 jualan kenderaan, sekaligus mewakili 177% kadar pertumbuhan dari tahun ke tahun. Justeru, dalam wawasannya menuju 2028, GWM Malaysia mensasarkan 6% pegangan pasaran, 60,000 jualan tahunan, dan berusaha untuk tersenarai dalam 10 teratas untuk jenama automotif di Malaysia, termasuk tiga teratas untuk jenama dari China.

Buat setakat ini, GMW Malaysia menduduki tangga ke-16 secara keseluruhan pada tahun lalu (no. 4 bagi jenama China) dengan 5,876 unit terjual (mewakili 0.7% dalam perkongsian pasaran bagi rekod TIV mencecah 820,752 unit). Sekaligus mencatatkan lebih 177% berbanding 2,128 unit yang terjual pada tahun 2024 (di tangga ke-18).

GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028

Ya, jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 331% yang dicatatkan pada 2024, namun tetap merupakan pencapaian yang mengagumkan. Penyumbang terbesar sudah tentu ialah Haval H6 HEV – dalam segmen hibrid, SUV tersebut menduduki tempat kedua dan meraih 14.9% pegangan pasaran pada tahun 2025, sekali gus meletakkan GWM Malaysia secara keseluruhan di tempat ketiga dalam segmen hibrid dengan pegangan pasaran sebanyak 15.5%.

“Di GWM Malaysia, perkara yang sentiasa menjadi fokus kami adalah untuk membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di dalam pasaran. Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan, dan produk yang kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang.

“Kesemua ini dipacu oleh rangkaian pasaran yang semakin berkembang di seluruh negara. Pendekatan berteraskan disiplin ini juga memberi asas yang kukuh terhadap pertumbuhan yang mampan di samping mengekalkan kepercayaan pelanggan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia.

GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028

Beliau menambah, “Pertumbuhan yang kami capai pada tahun 2025 menunjukkan bahawa kami sedang membangunkan sesuatu yang bermakna dan kami berada di landasan yang betul. Ia memberi gambaran terdapat peningkatan dalam keyakinan terhadap produk kami, tenaga kerja, dan kecekapan para pengedar kami, serta perkhidmatan selepas jualan yang cekap dan ekosistem.

“Pada masa hadapan, fokus kami menjurus kepada meneruskan momentum ini untuk memberi nilai jangka panjang dengan meletakkan asas yang tepat, sesuai pada tempatnya, supaya pertumbuhan kami bukan sahaja mampan malah jenama ini terus berdiri kukuh untuk tahun-tahun yang mendatang.”

Selain pembangunan produk, syarikat ini juga gigih memaju dan menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualannya. GWM Malaysia meletakkan sasaran operasinya bersama 60 pengedar di seluruh negara, dengan fokus untuk mengembangkan pertumbuhannya secara berstruktur dalam pasaran utama.

Bermula dari 2026, piawaian identiti korporatnya yang dipertingkatkan akan menetapkan standard yang jelas untuk memberikan pengalaman jualan yang lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaiannya. Perkhidmatan selepas jualan tetap menjadi kunci utama untuk memperolehi kepercayaan pelanggan. Ia disokong oleh program latihan teknikal yang intensif, 95% ketersediaan pemasangan alat ganti di seluruh negara, dan usaha berterusan sistem GWM Care untuk memperkasakan kepuasan para pelanggan sepanjang mereka menjadi pemilik kenderaan tersebut.

The post GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts