Grab Malaysia telah mengumumkan kini turut menggunakan kenderaan elektrik (EV) dalam perkhidmatan e-hailing mereka, khas untuk lapangan terbang, khusus untuk penumpang yang berlepas dari KLIA. Perkhidmatan baharu ini telah dilancarkan semalam oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sebagai permulaan, sebanyak 10 unit MPV elektrik BYD M6 digunakan, dan ia boleh ditempah sebagai salah satu pilihan melalui aplikasi Grab, dan disenaraikan Pintu 4, Aras 3 (balai ketibaan utama) sebagai lokasi pengambilan (pick up point) bagi perkhidmatan ini, berbeza dengan Aras 1 untuk perkhidmatan e-hailing biasa.
Syarikat ini turut memaklumkan bahawa mereka telah mewujudkan ruang rehat EV di terminal sebagai ciri tambahan untuk pengguna perkhidmatan premium ini, namun dikenakan bayaran sedikit lebih tinggi berbanding pilihan enam-tempat duduk biasa. Sebagai contoh, perjalanan dari lapangan terbang ke pusat bandar akan menelan kos sekitar RM134, berbanding RM105 untuk perkhidmatan MPV enam-tempat duduk biasa.
Loke berkata inisiatif Grab ini ternyata menyokong pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan di pintu masuk utama negara.
“Pemilihan KLIA sebagai lokasi pelancaran adalah sangat strategik, bukan sahaja kerana jumlah trafik penumpang yang tinggi, tetapi juga kerana ia memberikan pendedahan maksimum kepada pengguna domestik dan antarabangsa mengenai usaha Malaysia dalam memperkukuh mobiliti hijau,” katanya.
Perkhidmatan e-hailing EV KLIA yang baharu ini adalah hasil kerjasama Grab dengan BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (YGT) dan penyedia perkhidmatan pengecasan EV yang berpangkalan di Singapura, Power-Up Tech, yang dimeterai pada bulan Mac. Di bawah kerjasama ini, YGT akan menyediakan pakej penyewaan EV yang komprehensif kepada Grab, selain rangkaian solusi elektrifikasi.
The post Grab Malaysia lancar perkhidmatan e-hailing EV dari KLIA – guna 10 MPV BYD M6 sebagai permulaan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.