Genesis tampil dengan pendekatan berani terhadap konsep kereta sport lasak menerusi Genesis X Skorpio Concept, sebuah jentera yang membawa idea sama seperti Lamborghini Huracán Sterrato dan Porsche 911 Dakar, namun direka untuk menghadapi permukaan yang jauh lebih ekstrem.
Konsep ini menandakan arah berbeza bagi jenama mewah Korea Selatan itu, dengan susun atur enjin hadapan dan rekaan badan yang jauh lebih tinggi berbanding konsep Magma GT berenjin tengah yang diperkenalkan pada November lalu.
Menurut ketua pegawai kreatif Genesis, Luc Donckerwolke, X Skorpio Concept dibangunkan sebagai “kenderaan off-road ekstrem yang direka untuk dipandu merentasi permukaan paling mencabar dan keras”. Sejajar dengan matlamat tersebut, ia menggunakan rangka tiub sepenuhnya bersama rollcage penuh, dengan banyak komponen diambil daripada pembekal khusus perlumbaan endurance off-road.
Panel luaran X Skorpio Concept dibina menggunakan gabungan bahan gentian kaca, gentian karbon dan Kevlar. Reka bentuk panel bersegmen ini membolehkan pembaikan dilakukan dengan pantas dan cekap, iaitu satu keperluan penting bagi kenderaan yang direka untuk beroperasi dalam persekitaran lasak dan mencabar.
Seperti kebiasaan, Genesis jarang mendedahkan maklumat terperinci mengenai trenkuasa bagi model konsep. Namun bagi X Skorpio Concept, mereka memberikan sedikit gambaran apabila mengesahkan kehadiran enjin V8 di bawah bonet jenis clamshell. Enjin tersebut menghasilkan kuasa sebanyak 1,115 PS dan tork setinggi 117.6 kg-m atau bersamaan 1,153 Nm.
Untuk sistem roda, X Skorpio Concept dipadankan dengan rim beadlock bersaiz 18 inci yang dibalut tayar off-road khas bersaiz 40 inci. Sistem brek pula menggunakan komponen daripada Brembo Motorsport. Genesis turut menyatakan kenderaan ini memiliki sudut pendekatan dan pelepasan yang besar, jarak roda pendek serta sudut breakover yang tinggi. Pelindung fender berkelegaan tinggi dan plat perlindungan bawah yang kukuh pula direka bagi mengelakkan kenderaan daripada tersangkut atau rosak ketika dipandu di laluan ekstrem.
Bahagian dalaman mengekalkan fokus kepada keselamatan dan fungsi, dengan rollcage yang ketara, tali pinggang keselamatan four point serta struktur dalaman yang diperkukuh. Walaupun menampilkan suasana kabin yang bersifat utilitarian, Genesis masih mengekalkan sentuhan mewah, menjadikannya lebih eksklusif berbanding jentera kategori trophy truck dalam perlumbaan Baja yang menjadi inspirasi rekaan luarannya.
Paparan instrumen dipasang terus pada stereng gaya perlumbaan, manakala kawalan sekunder diuruskan melalui panel butang yang disusun dalam bentuk grid. Menariknya, terdapat juga skrin gelongsor yang boleh dilaraskan sama ada lebih dekat ke arah pemandu untuk navigasi solo atau dialihkan ke sisi penumpang bagi tugas pembantu pemandu. Pemegang tangan turut disediakan di kedua-dua sisi konsol tengah bagi menambah keselamatan ketika meredah laluan mencabar.
Setakat ini, Genesis masih belum mengesahkan sama ada X Skorpio Concept akan dibangunkan ke peringkat produksi atau digunakan dalam arena perlumbaan. Namun dengan pembinaan rangka tiub, enjin V8 berkuasa tinggi dan casis yang jelas direka untuk kegunaan ekstrem, konsep ini dilihat memiliki asas kukuh untuk memenuhi kriteria jentera trophy truck sekiranya Genesis memilih untuk merealisasikannya.
The post Genesis X Skorpio Concept guna enjin V8 berkuasa 1,115 PS/1,153 Nm, badan gentian karbon, casis tiub appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























