Geely telah umumkan yang model Xingyuan 2026 akan dilancarkan untuk pasaran China esok, 10 Oktober 2025. Penawaran terbaru ini akan membawakan beberapa peningkatan terhadap EV berkenaan. Pengumuman tersebut turut disertakan dengan beberapa imej rasmi model tersebut.
Antara kelainan yang ditampilkan untuk model baru itu ialah perincian hitam di bahagian tiang C kini mempunyai motif bintang (sesuai dengan namanya yang bermaksud “star wish”), sementara ruang dalaman dengan kemasan hitam berkilau juga mengenakan corak yang sama, dan menggantikan corak hiasan yang sebelumnya.
Macam pernah dilihat? Ya, memang. Corak dan perincian bintang ini pertama sekali digunakan untuk kembar model ini di Malaysia, Proton eMas 5 — ini bermakna, selain menggunakan lencana yang berbeza serta kedudukan stereng, kedua-dua model itu adalah sama.
Kemaskini lain termasuklah pilihan warna baru lilac, yang akan menyertai warna biru muda, hijau dan merah jambu, serta warna krim, putih, kelabu dan perak. Tiada sebarang perubahan lain yang dimaklumkan setakat ini, namun kita boleh jankakan perubahan lebih ketara diberikan untuk aspek mekanikal — Geely baru-baru ini memperkenalkan pilihan bateri yang lebih besar untuk Galaxy E5 (atau Proton eMas 7 di sini).
Berpandukan kembarnya eMas 5 yang berkongsi motor dan bateri yang sama, model ini adalah pacuan roda belakang, dengan varian paling asas menghasilkan 79 PS (58 kW) dan 130 Nm dengan memberikan jarak WLTP hanya 225 km dengan bateri CATL lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWj. Varian lebih tinggi pula menerima output 116 PS (85 kW) dan 150 Nm, dan dilengkapi dengan bateri lebih besar 40.16 kWj, dengan jarak 325 km.
Proton eMas 5 akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, dan sudah dibuka untuk tempahan. Ia menjadi EV termurah di Malaysia dengan harga anggaran dari RM60,000 hingga RM80,000 — jauh di bawah tahap harga minimum RM100,000 yang dikenakan untuk EV import lain.
The post Geely Xingyuan 2026 bakal dilancar 10 Oktober — beza penampilan berbanding Proton eMas 5, lebih jarak km? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.