Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Geely bakal rebadge model-model yang Proton hasilkan berdasarkan platform Advance Modular Architecture (AMA) untuk dijual pada pasaran-pasaran tertentu. Nampaknya perkara tersebut akan berlaku tak lama lagi kerana Geely telah mengesahkan bahawa Proton Saga MC3 bakal dijual di Filipina menggunakan lencana jenama dari China itu!

Perkara ini dilaporkan oleh Autocar Philippines yang menunjukkan satu slaid pembentangan model-model baharu yang akan dilancarkan oleh Geely Filipina untuk tahun hadapan. Dalam slaid yang disiarkan menerusi hantaran media sosial berkenaan dengan jelas menunjukkan bahawa Geely Filipina akan melancarkan sebuah sedan dengan kuasa petrol sepenuhnya pada suku keempat 2026.

Sedan berkenaan masih lagi belum diberi nama dan dirujuk hanya dengan kod AMA01, iaitu kod pembangunan bagi Proton Saga MC3 di Malaysia. Malah gambar AMA01 itu juga jelas menunjukkan bahagian sisi Saga MC3. Slaid itu juga menggambarkan Saga MC3 sebagai sebuah model yang menampilkan “penggayaan yang dinamik” dan juga “pengendalian yang stabil”, serta ia disasarkan untuk berhadapan terus dengan Toyota Vios serta Mitsubishi Mirage sedan generasi keempat atau dikenali sebagai Attrage di Malaysia satu ketika dahulu.

Geely sah akan rebadge Proton Saga MC3; dilancar di Filipina pada 2026, akan bersaing dengan Toyota Vios

Sebelum ini Proton memberitahu bahawa model-model dengan platform AMA ini akan di’rebadge’ oleh Geely adalah untuk memenuhi permintaan pasaran tertentu kerana ia tidak mempunyai model-model yang lebih kecil dari siri-X dan siri-S, dan rancangan yang didedahkan oleh Geely Filipina ini mengesahkan perkara itu.

Filipina merupakan negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD). Namun tidak mustahil Saga MC3 dengan logo Geely tersebut masih akan dibuat di Tanjong Malim dan kemudian dieksport ke Filipina. Sebelum ini Proton turut pernah memasang X50 dalam versi LHD dan dilekat dengan logo Geely Coolray untuk dieksport ke pasaran Vietnam.

Proton Saga MC3 baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada hujung bulan lalu. Ia merupakan model pertama Proton yang menggunakan platform AMA iaitu platfotm yang diasaskan dari platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga pada pasaran Malaysia di mana varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

The post Geely sah akan rebadge Proton Saga MC3; dilancar di Filipina pada 2026, akan bersaing dengan Toyota Vios appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts