Geely bakal memperluaskan barisan model elektriknya menerusi pengenalan versi elektrik penuh bagi sedan plug-in hybrid segmen-D, Galaxy A7. Model baru ini akan dikenali sebagai Galaxy A7 EV dan dijangka membuat kemunculan sulung pada acara Auto China yang akan berlangsung di Beijing tidak lama lagi.
Melihat pada rekaan luaran, Galaxy A7 EV mengekalkan rupa yang hampir sama dengan versi hibridnya. Perubahan yang dilakukan adalah minimum, antaranya saiz bukaan udara tengah yang lebih kecil kerana ketiadaan enjin pembakaran dalaman.
Selain itu, bahagian bucu bampar hadapan kini menampilkan saluran udara yang lebih tirus. Secara keseluruhan, reka bentuk hadapan model ini turut mengingatkan kepada gaya moden yang dipopularkan oleh Lucid Air.
Satu lagi perubahan ketara ialah kedudukan soket pengecas yang kini dialihkan ke bahagian fender hadapan, sama seperti yang digunakan pada Proton eMas 7. Model ini turut dilengkapi rim aloi lima jejari baru serta rekaan semula ringan pada bahagian bawah bampar belakang.
Di ruang dalaman, tiada perubahan besar diperhatikan. Galaxy A7 EV masih menampilkan papan pemuka minimalis dengan rekaan liang penghawa dingin melintang penuh, konsol tengah jenis “bridge” yang disertakan tombol kawalan fizikal seperti pada eMas 7, serta stereng dua jejari. Paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci dan skrin sentuh infotainmen 15.4 inci turut dikekalkan, kedua-duanya menggunakan sistem interface Flyme Auto.
Dari segi teknikal, butiran rasmi masih belum diumumkan. Namun laporan menyatakan bahawa model ini akan menggunakan motor elektrik hadapan berkuasa 218 PS, sama seperti yang terdapat pada eMas 7. Ia dijangka dipadankan dengan dua pilihan bateri LFP jenis Aegis “short blade”, iaitu berkapasiti 49.52 kWh dan 58.05 kWh.
Jarak pemanduan dianggarkan sekitar 470 km dan 550 km mengikut kitaran CLTC, manakala anggaran lebih realistik berdasarkan piawaian WLTP adalah sekitar 385 km hingga 450 km bergantung kepada kapasiti bateri.
Galaxy A7 EV juga berpotensi menjadi asas kepada pembangunan sedan elektrik baru oleh Proton di bawah jenama eMas. Langkah ini dilihat selari dengan usaha pengeluar nasional itu untuk mengembangkan penawaran kenderaan elektriknya, selepas sebelum ini memberi tumpuan kepada segmen SUV dan hatchback.
Walaubagaimanapun, mengambil kira keadaan pasaran sedan segmen-D yang semakin suram di Malaysia, terdapat kemungkinan Proton akan memilih untuk memperkenalkan model yang lebih kecil. Antara calon yang lebih sesuai ialah model berasaskan Geely Galaxy Starshine 6 PHEV, yang dibangunkan daripada Emgrand generasi baru. Versi elektrik sepenuhnya bagi model segmen-C ini berpotensi menjadi alternatif kepada “Proton S70 EV”, khususnya dalam situasi harga bahan api yang dijangka meningkat dalam masa terdekat.
The post Geely Galaxy A7 EV didedah – sedan segmen D elektrik jarak gerak CLTC 550 km, Proton eMas sedan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















