Model Geely EX5 2026 kembali menjadi perhatian selepas sebelum ini muncul dalam dokumen pensijilan kerajaan Australia. Kali ini, laporan oleh CarExpert menyatakan spesifikasi model tersebut terdedah menerusi panduan industri Redbook, sekali gus menunjukkan angka jarak pemanduan rasmi WLTP bagi versi jarak jauh baru. Namun begitu, angka yang diperoleh didapati lebih rendah daripada jangkaan awal.

EX5 akan terus ditawarkan dalam varian Complete dan Inspire seperti sebelum ini. Meskipun kapasiti bateri Aegis short blade jenis LFP yang dipasang sebagai standard kini meningkat menjadi 68.39 kWh daripada 60.22 kWh, jarak pemanduan pula tidaklah naik banyak.

Varian Complete yang menggunakan rim 18 inci mencatat jarak sehingga 475 km mengikut kitaran WLTP, manakala varian Inspire dengan rim 19 inci pula mampu bergerak sejauh 450 km. Sebagai perbandingan, model semasa menawarkan jarak masing-masing 430 km dan 410 km.

Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat

Perkembangan ini sekali lagi menunjukkan perbezaan ketara antara angka kitaran CLTC dan WLTP. Di pasaran China, model sama yang dikenali sebagai Geely Galaxy E5 didakwa memperoleh tambahan jarak sehingga 80 km dengan bateri lebih besar, menjadikan angka rasmi meningkat daripada 530 km kepada 610 km mengikut kitaran CLTC.

Namun apabila dinilai berdasarkan piawaian WLTP yang lebih realistik, pertambahan tersebut hanya sekitar 40 hingga 45 km, sekaligus menjadikan peningkatannya kurang dramatik bagi pasaran eksport.

Bateri lebih besar itu turut menyumbang kepada pertambahan berat sekitar 50 kg. Justeru, tidak mengejutkan apabila prestasi pecutan sedikit terjejas walaupun output kekal pada 218 PS bersamaan 160 kW dan 320 Nm tork. Varian Complete kini mencatat masa 0-100 km/j dalam 7.4 saat berbanding 6.9 saat sebelum ini, manakala Inspire pula mengambil masa 7.6 saat berbanding 7.1 saat sebelumnya. Kelajuan maksimum kekal dihadkan kepada 175 km/j.

Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat

Antara perubahan lain yang dijangka termasuk peningkatan kuasa pengecasan pantas DC melebihi 100 kW sebelum ini, bagi memastikan tempoh pengecasan 30 hingga 80 peratus kekal sekitar 20 minit. Fungsi Vehicle-to-Load atau V2L turut dinaik taraf dengan output kini mencecah 6.6 kW, iaitu dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Persoalannya, apakah implikasi perkembangan ini terhadap kembar model berkenaan di Malaysia, iaitu Proton eMas 7? Bateri berkapasiti lebih besar juga dijangka akan diperkenalkan ke pasaran tempatan, namun memandangkan model ini baru sahaja memasuki fasa pemasangan tempatan dengan saiz bateri sedia ada, berkemungkinan pengguna perlu menunggu kemas kini lebih menyeluruh pada masa akan datang.

Semakan tersebut berpotensi menyaksikan varian Prime turut menerima peningkatan kapasiti bateri, selari dengan apa yang telah dilaksanakan di China. Di sana, unit asas 49.52 kWh yang menawarkan jarak WLTP sejauh 345 km telah digugurkan dan digantikan dengan pek 60.22 kWh seperti yang digunakan pada varian lebih tinggi.

The post Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts