Julai lalu Geely telah memperkenalkan versi kemaskini Geely Galaxy E5 di China di mana ia diberikan bateri dengan kapasiti lebih besar, menawarkan jarak gerak lebih jauh. Kemaskini tersebut nampaknya bakal ditawarkan untuk model eksport di mana SUV ini dikenali dengan nama Geely EX5 – laporan dari Drive menyebut bahawa dokumen pensijilan oleh kerajaan Australia bagi EX5 2026 telah pun dilihat, menandakan pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi.
Model kemaskini ini dipadankan dengan bateri LFP Aegis bilah pendek berkapasiti 68.39 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 530 km hingga 610 km dalam kitaran ujian CLTC, atau sekitar 500 km dalam ujian WLTP yang lebih tepat. Sebagai perbandingan, model sedia ada hanya menawarkan jarak 410 km WLTP untuk varian yang menawarkan jarak gerak paling jauh.
Selain itu versi kemaskini tersebut juga menampilkan sokongan pengecas pantas DC yang lebih berkuasa dari 100 kW pada versi sedia ada, membolehkan bateri lebih besar berkenaan dipenuhkan dalam masa yang masih sama seperti sebelum ini iaitu dari 30% hingga 80% dalam masa 20 minit.
Ia juga menerima sistem V2L untuk mengalirkan kuasa bateri untuk kegunaan peralatan elektrik lain yang dipertingkat dari 3.3 kW kepada 6.6 kW. Namun ia masih dibekalkan dengan motor elektrik yang sama berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Selepas Australia, tingkat taraf ini juga dijangka akan ditawarkan pada pasaran lain, dan mungkin kembar EX5 di Malaysia iaitu Proton eMas 7 dalam varian paling tinggi iaitu Premium turut akan menerima kemaskini yang sama. Namun ia mungkin mengambil sedikit masa kerana eMas 7 baru sahaja mula dipasang di Tanjong Malim dengan bateri sedia ada.
Jadi mungkin versi dengan bateri lebih besar ini akan mula ditawarkan di Malaysia bermula tahun hadapan? Di China, varian asas Galaxy E5 turut menerima tingkat taraf bateri iaitu diberikan bateri dengan kapasiti 60.22 kWj – boleh juga dijangka varian asas eMas 7 Prime di sini juga akan menerima kemaskini yang sama, membolehkan varian paling murah itu bergerak sejauh 430 km dalam kitaran WLTP.
The post Geely EX5 2026 dengan bateri 68.39 kWj, jarak gerak 500 km akan tiba di Australia – Proton eMas 7 juga? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















