Geely Auto Indonesia mengumumkan bahawa ia telahpun memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) EV kompak Geely EX2 menerusi kilang PT Handal Indonesia Motor (HIM) yang terletak di keregenan Purwakarta pada Isnin lalu, 19 Januari 2026. Ini bermakna selepas dilancarkan secara rasmi pada pasaran negara itu semalam, pelanggan di Indonesia akan terus menerima model berkenaan dalam versi CKD.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Geely Indonesia dan dilaporkan oleh voi.id, kandungan tempatan pada EX2 CKD Indonesia berkenaan mencecah 46.5%, termasuk bateri yang dibekalkan oleh vendor tempatan iaitu Gotion. Walau bagaimanapun, Gotion hanya memasang bateri berkenaan di Indonesia dengan sel-sel yang masih diimport dari China.
EX2 juga merupakan model ketiga Geely yang dipasang secara tempatan di Indonesia selepas EX5 (eMas 7) dan Starray EM-i (eMas 7 PHEV), di mana fasiliti berkenaan mampu untuk menghasilkan 60 unit kenderaan setiap hari.
“Kewujudan fasiliti produksi kami di Indonesia menunjukkan komitmen kuat Geely untuk menjadikan negara ini sebagai pangkalan automotif utama di Asia Tenggara,” kata CEO Geely Auto Indonesia CEO Wu Chuxing.
Berbeza dengan kembar EX2 di Malaysia iaitu Proton eMas 5 yang dilancarkan di sini pada Oktober 2025, walaupun kilang EV Proton telah dirasmikan pada September tahun lalu, 216 unit awalan yang telah dilaporkan dihantar kepada pelanggan masih lagi diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Malah sehingga kini operasi CKD untuk Proton eMas 5 masih belum bermula di Tanjong Malim.
Manakala untuk eMas 7 CKD yang akan mula dipasang kelak, ia sebenarnya masih berstatus semi-knocked down (SKD) dengan kit yang dibawa dari China, dan Proton masih belum mendedahkan berapa peratus kandungan tempatan yang digunakan.
Berbalik pada Geely EX2 pasaran Indonesia, ketika dilancarkan semalam model ini sah dijual pada harga 255 juta rupiah (RM61k) untuk varian asas Pro dan 285 juta rupiah (RM68k) untuk varian teringgi Max. Namun khas sempena pelancarannya, Geely Indonesia menawarkan diskaun istimewa untuk pelanggan yang membeli model ini sebelum 15 Februari atau 2,000 pelanggan pertama dengan harga 229,900,000 rupiah (RM55k) untuk EX5 Pro dan 259,900,000 rupiah (RM62k) untuk EX5 Max.
Model ini perlu dijual dengan harga yang begitu kompetitif di sana berbanding Proton eMas 5 yang dijual pada harga RM57k-RM70k kerana EX2 perlu berhadapan dengan beberapa model EV mampu milik dari Wuling yang lebih lama bertapak di sana.
Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian Pro dan Max di Indonesia menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 116 PS/150 Nm, digerakkan juga dengan hanya satu pilihan bateri 40.8 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 395 dalam kitaran NEDC.
Berbeza dengan eMas 5 Prime di Malaysia, Proton menawarkan varian asas dengan motor yang berkuasa lebih rendah 79 PS/130 Nm dan juga bateri lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj yang menawarkan jarak gerak 225 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih realistik.
Untuk perbezaa kelengkapan pula EX2 Pro diberikan lampu hadapan projektor LED automatik (hanya halogen biasa untuk eMas 5 Prime) dan empat beg-udara (enam pada eMas 5 Prime). Kedua-dua varian EX2 pasaran Indonesia ini tidak menerima pintu tailgate belakang bantuan kuasa, di mana perincian ini diberikan pada eMas 5 Premium di Malaysia.
Untuk keselamatan, Proton eMas 5 di Malaysia menerima fungsi penuh ADAS termasuk AEB dan ACC sama seperti EX2 Max di Indonesia. Namun untuk varian asas, EX2 tidak diberikan sebarang fungsi bantuan pemanduan, sebaliknya eMas 5 Prime di Malaysia masih menerima fungsi seperti pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang dan amaran bukaan pintu.
The post Geely EX2 dipasang di Indonesia; 46.5% kandungan tempatan termasuk bateri, pangkalan utama ASEAN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















