Kementerian Pengangkutan (MOT) menetapkan garis panduan baharu penggunaan kenderaan de-controlled dan trak pikap bagi membawa barangan untuk menangani kekeliruan dalam kalangan pemilik kenderaan jenis itu serta aspek penguatkuasaan pihak berkuasa berkaitan.
Menteri MOT, Anthony Loke berkata garis panduan baharu itu berkuatkuasa mulai 1 April 2026 di mana kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram (kg) dikategorikan sebagai kenderaan de-controlled dan boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat, laporan Malay Mail.
Ini bermakna pemilik atau syarikat yang memiliki kenderaan tersebut boleh mengangkut barangan sendiri tanpa perlu mendapatkan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Walau bagaimanapun, kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barangan bagi pihak pihak ketiga dengan bayaran masih dianggap sebagai kenderaan komersial dan memerlukan permit.
“Jika kenderaan digunakan untuk mengangkut barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewaan atau ganjaran, pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa Kelas A daripada APAD mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” kata Loke.
Tambah beliau, manakala trak pikap persendirian dibenarkan mengangkut barangan milik sendiri, dengan syarat muatan diikat dengan selamat dan tidak melebihi had muatan kenderaan.
Pemegang lesen memandu Kelas D juga dibenarkan memandu kenderaan de-controlled dengan berat tanpa muatan sehingga 4,000 kg, walaupun had semasa lesen tersebut ialah 3,500 kg. “Fleksibiliti ini mengambil kira pertambahan berat daripada badan kargo atau struktur lain yang dipasang pada kenderaan,” kata Loke.
The post Garis panduan baharu kenderaan de-controlled dan trak pikap yang bawa barangan mulai 1 April – MOT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















