Setelah beberapa kali membuat penampilan umum dan dibuka untuk tempahan, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) selaku pengedar kenderaan GAC di Malaysia melancarkan secara rasmi model SUV segmen C terbaru keluarannya, GAC Emkoo. Ditawarkan dalam dua varian, Premium dan juga Premium Pro dengan harga masing-masing RM123,800 dan RM133,800.
Sempena pelancarannya, 500 pembeli terawal juga akan menikmati tawaran menarik dalam bentuk rebat tunai sebanyak RM4,000 serta pakej aksesori percuma bernilai RM10,000.
GAC Emkoo merupakan sebuah SUV dalam segmen C yang dibangun menggunakan Global Platform Modular Architecture (GPMA) oleh GAC sendiri, yang turut dikongsikan dengan model lebih kecil dalam segmen B, GS3 Emzoom. Emkoo mempunyai ukuran dimensi 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm.
Ukuran berkenaan sebenarnya lebih besar daripada pesaing dalam segmen yang sama, Proton X70 yang mempunyai dimensi 4,526 mm panjang, 1,831 mm lebar dengan jarak antara roda 2,670 mm — GAC Emkoo 154 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak rodanya juga 80 mm lebih panjang.
Emkoo untuk pasaran Malaysia didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, 1.5 liter turbo petrol dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) sahaja untuk kedua-dua varian. Unit tersebut menghasilkan kuasa sebanyak 177 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 270 Nm bermula dari 1,400 hingga 4,500 rpm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda hadapan.
Ini membolehkan Emkoo memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, serta menggunakan bahan api serendah 6.6 liter bagi setiap 100 km dalam kitaran NEDC. Untuk ruang barangan, 638 liter ruang tersedia di belakang, dan jika penyadar kerusi direbahkan, ia akan memberikan kapasiti 1,586 liter.
Sama seperti Emzoom, Emkoo menerapkan rekaan bersegi yang tajam. Ia menerima lampu hadapan LED yang bersambung dengan lampu nyalaan siang LED. Lampu dengan “sistem gaya matriks” ini turut menampilkan fungsi lampu tinggi adaptif. Lampu tersebut mengapit rekaan gril berbentuk-V, yang didakwa bermaksud ‘victory’ (kejayaan).
SUV ini juga menerima rekaan pemegang pintu tersorok, rekaan bumbung “terapung” dengan tiang-A digelapkan serta tiang-C yang tebal, serta rel bumbung berwarna perak yang direka seakan bersambung dengan spoiler.
Di belakang, lampu SUV ini seakan menonjolkan huruf-X menerusi grafik LED yang menyala. Bahagian bawah bampar agak sibuk dengan diffuser yang menampilkan lampu mengundur di bahagian tengah bersama dua reflektor melintang serta dua liang udara palsu pada kedua-dua sisi.
Kedua-dua varian Emkoo menerima rim aloi dua-tona 19-inci bersama tayar 235/55/R19 dan cermin sisi kawalan elektrik, namun hanya varian Premium Pro diberikan bumbung panaromik dan juga cermin sisi dengan fungsi pemanas, sudut pandang ke bawah ketika parkir serta memori. Manakala untuk fungsi pintu tailgate belakang bantuan kuasa, ia diberikan secara standard untuk Premium Pro, dan pelanggan yang membeli varian Premium ditawarkan secara pilihan dengan tambahan bayaran.
Beberapa perincian unik boleh lihat pada rekaan dalaman GAC Emkoo ini, antaranya liang penghembus udara dengan bentuk seakan silinder, serta pembuka pintu bersaiz besar yang perlu ditarik ke atas. Tiada suis fizikal untuk kawalan penghawa dingin dan audio, dengan kedua-dua perincian tersebut diganti dengan suis maya yang sentiasa berada di kiri dan kanan skrin sentuh sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci yang terletak di tengah papan pemuka.
Skrin tersebut turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kedua-dua varian juga datang dengan pad pengecas tanpa wayar 50W yang diletakkan pada konsol tengah, dengan bahagian tersebut turut menempatkan dua pemegang cawan, tombol gear dengan kemasan kristal, suis brek parkir elektrik, butang penghidup enjin dan suis lampu isyarat kecemasan.
Kerusi balutan kulit sintetik adalah standard untuk kedua-dua varian. Bagi tempat duduk hadapan, varian Premium diberikan tempat duduk pemandu dengan fungsi larasan kuasa enam-hala dan juga liang pengudaraan, manakala varian Premium Pro ditambah dengan fungsi larasan elektrik 12-hala bersama memori pada tempat duduk pemandu, serta tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan elektrik empat-hala dan liang pengudaraan.
Bagi pemandu, skrin 7-inci diberikan untuk paparan instrumen digital bagi varian Premium, manakala varian Premium Pro ditambah dengan paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, paparan heads-up yang dipancarkan cermin hadapan. Selain itu varian paling mahal itu juga menerima penambahan Ionizer udara dengan penderia kualiti udara serta lampu suasana kabin pelbagai warna.
Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian berkongsi kelengkapan yang hampir sama. Ia termasuk enam-beg udara, kamera pemantau 540-darjah dan pemantau tekanan angin tayar. Kedua-dua varian juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2 menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, kawalan melayar adaptif dengan fungsi kawalan stereng seperti bantuan kekal tengah lorong dan sebagainya.
Hanya varian Premium Pro yang diberikan sistem bantuan parkir automatik penuh (FAPA) yang membolehkan SUV ini diparkir secara automatik tanpa dipandu oleh pemandu. Dengan kelengkapan keselamatan yang ada, ai telah membolehkan GAC Emkoo menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baru untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP).
Lima warna badan ditawarkan untuk GAC Emkoo pasaran Malaysia — Star Lake Green, Super Star Silver, Graphite Grey, Asphalt Black dan Frost White. SUV ini ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di mana produksinya telah bermula Jun lalu di kilang milik Tan Chong di Segambut, Selangor.
SUV ini juga datang dengan jaminan lima-tahun/150,000 km untuk kenderaan, serta jaminan tujuh-tahun/180,000 km untuk enjin dan sistem janaan.
GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia
The post GAC Emkoo dilancarkan di Malaysia — SUV segmen C, dua varian, 1.5L turbo 177 PS/270 Nm; dari RM124k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.