Pengedar kenderaan GAC di Malaysia, WTC Automotif (WTCA) telah mengumumkan pemasangan tempatan untuk GAC Emkoo telah pun bermula di kilangnya di Segambut, menjelang pelancarannya yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.
Ini merupakan model kedua GAC yang dikeluarkan secara unit pemasangan tempatan di fasiliti berkenaan, selepas model segmen-B Emzoom GS3 dilancarkan di Malaysia pada April 2024.
Pernah kelihatan ia dipandu di jalan raya pada Mac lalu, Emkoo merupakan SUV segmen-C yang berukuran 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm, yang dikatakan mampu memberikan persaingan buat Honda CR-V dan Proton X70.
Seperti GS3 Emzoom, Emkoo juga menggunakan Global Platform Modular Architecture (GPMA), dan untuk pasaran global, SUV ini ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk 1.5 liter, 2.0 liter pengecas turbo petrol dan juga 2.0 liter hibrid.
Bagi pilihan enjin 1.5 liter petrol, ia mampu menghamburkan kuasa 177 PS pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm antara 1,400 dan 4,500 rpm, memacukan roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan.
Bagi Emkoo yang pernah dipertontonkan di Malaysia, kabinnya diberikan paparan instrymen digital tujuh-kelajuan dan skrin sesentuh infotainmen 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay, namun tidak pasti adakah ia juga diberikan untuk model yang bakal dipasarkan di sini.
Di China, Emkoo turut ditawarkan dengan paparan yang lebih besar iaitu paparan instrumen 10.25-inci dan skrin sesentuh 14.6-inci serta sistem bunyi Yamaha bersama 12-pembesar suara.
“Kami berbangga untuk mara ke langkah seterusnya dalam perjalanan CKD kami dengan pelancaran pengeluaran besar-besaran Emkoo. Pencapaian ini menyerlahkan keupayaan kami untuk memenuhi piawaian kualiti global bagi pemasangan secara tempatan. Emkoo mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan berteknologi maju dan reka bentuk ke hadapan kepada pengguna Malaysia dengan cara yang tepat pada masanya dan juga cekap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif WTC Automotif Tan Keng Meng.
GALERI: GAC Emkoo dipertonton di Malaysia
The post GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.