Pasaran automotif tempatan bakal menerima kehadiran jenama baru dari China, iaitu Forthing, yang kini membuat penampilan sulung di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 di Kuala Lumpur. Jenama ini berada di bawah naungan Dongfeng Motor Group dan mempamerkan dua model pertama untuk pasaran Malaysia — SUV Forthing Friday dan MPV V9.
Menurut maklumat awal, Forthing dijangka melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia pada Disember tahun ini melalui pengedar tempatan, Wide Premium.
Model pertama yang akan ditawarkan ialah Forthing Friday, sebuah SUV yang hadir dalam dua pilihan pakej kuasa — versi kenderaan elektrik penuh (BEV) dan range extender electric vehicle (REEV). Bagi versi BEV, ia mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 400 km mengikut kitaran ujian WLTP, manakala varian REEV mampu bergerak melebihi 1,000 km dengan gabungan kuasa bateri dan enjin petrol.
Versi REEV menggunakan motor elektrik berkuasa 120 kW (163 PS) dan 240 Nm, disokong oleh bateri LFP 31.94 kWh serta enjin petrol 1.5 liter yang berfungsi sebagai penjana kuasa dengan output 102 PS dan 130 Nm. Sementara itu, versi BEV menggunakan motor elektrik tunggal dengan 204 PS dan 340 Nm, dikuasakan oleh bateri LFP 64.4 kWh.
Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,600 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,680 mm tinggi, dengan jarak roda 2,715 mm. Berat keseluruhannya ialah 1,820 kg bagi kedua-dua varian. Sistem suspensi depan menggunakan tetapan MacPherson, manakala belakang bergantung kepada multi-link (untuk EV) dan torsion beam (untuk REEV).
Model Friday akan ditawarkan dalam beberapa varian – Luxury dan Exclusive untuk REEV, serta Standard dan Extended untuk EV. Ciri keselamatan asas termasuk beg udara hadapan, ABS, EBD, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni bukit dan sistem amaran bunyi untuk pejalan kaki. Varian lebih tinggi ditambah dengan beg udara sisi, kamera 360 darjah serta pengesan jarak hadapan.
Bahagian luaran menampilkan cermin sisi boleh lipat automatik dengan fungsi pemanas, manakala varian premium mendapat bumbung panoramik dan pintu belakang elektrik. Di bahagian dalam, varian asas hadir dengan stereng kulit pelbagai fungsi dan tempat duduk larasan manual, sementara versi tertinggi mendapat tempat duduk larasan kuasa sepenuhnya.
Sistem hiburan terdiri daripada panel instrumen 8.8 inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.6 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bersama pengecas telefon tanpa wayar 50W, sambungan USB-A, USB-C dan radio digital.
Untuk bantuan pemanduan (ADAS), varian Exclusive REEV dan Extended EV mendapat ciri seperti kawalan kelajuan adaptif, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong serta pengenalan tanda lalu lintas. Varian tertinggi EV turut ditambah dengan pemantauan titik buta, bantuan tukar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.
Selain SUV Friday, Forthing turut memperkenalkan MPV U-Tour V9, sebuah kenderaan tujuh tempat duduk yang dijangka memasuki pasaran Malaysia pada 2026. Model ini menggunakan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo direct injection berkuasa 190 PS dan 280 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 177 PS dan 300 Nm. Ia menggunakan bateri ternary lithium atau LFP, bergantung pada varian.
MPV besar ini berukuran 5,151 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,820 mm tinggi dengan jarak roda 3,018 mm. Ruang dalaman tampil mewah dengan susunan tiga skrin digital penuh, stereng bentuk bawah rata pelbagai fungsi, dan kerusi kapten di baris kedua lengkap dengan pelarasan kuasa, skrin kawalan sentuh serta meja lipat.
Harga rasmi masih belum diumumkan, namun sumber industri memaklumkan bahawa Forthing Friday dijangka dijual di Malaysia pada harga bermula sekitar RM130,000 apabila dilancarkan tidak lama lagi.
GALERI: Forthing Friday REEV di Malaysia
GALERI: Forthing U-Tour V9 di Malaysia
The post Forthing Friday FEV, REEV dan MPV V9 PHEV akan tiba di Malaysia tahun depan, harga bermula RM130k? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























































































































































