Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) Ford hari ini mengumumkan bahawa model edisi terhad Ford Ranger Raptor Sport kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi dan sudah boleh mula ditempah di bilik pameran bermula esok, 15 November 2025. Model yang diberikan penggayaan lebih agresif ini ditawarkan sempena ulangtahun ke-3 Ranger Raptor generasi terkini berada dalam pasaran, dan ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM273,888.00 di Semenanjung Malaysia dan RM277,388.00 di Sabah dan Sarawak.
Ford Ranger Sport ini diasaskan dari varian 3.0L V6 Twin-Turbo EcoBoost yang kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM263,888.00. Apa yang berbeza, model istimewa ini diberikan penggayaan unik dimulakan dengan pemadanan rim aloi 17-inci dengan gaya beadlock yang lebih lasak, kemudian menerima pelekat badan sisi dengan grafik yang lebih besar serta Sports Bar pada bed belakang yang sama seperti dipadankan pada Ranger Wildtrak terbaharu.
SDAC Ford memberitahu bahawa Ranger Sport ini ditawarkan dalam jumlah yang terhad, namun tidak mendedahkan angka sebenar yang dihasilkan dan akan dijual dalam pasaran tempatan.
Selain dari itu, perincian yang diberikan pada Ranger Raptor Sport ini adalah sama seperti Ranger Raptor petrol. Tiada talaan tambahan prestasi di mana enjin 3.0L V6 Twin Turbo EcoBoost yang dibekalkan masih menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm.
Kuasa dari enjin berkenaan disalurkan kepada kotak gear automatik 10-kelajuan, sebelum memacu semua roda menerusi sistem pacuan-empat roda sepenuh masa, yang dibekalkan bersama transfer case dua-kelajuan, serta locking differential diberikan pada gandar belakang dan hadapan.
Begitu juga dengan suspensi di mana Ranger Raptor Sport ini masih diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang dibekalkan oleh Fox.
Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.
Juga tiada sebarang perubahan diberikan pada bahagian dalaman di mana ia masih menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik serta tempat duduk hadapan yang dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.
Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.
Ford Ranger Raptor Sport baharu ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu Arctic White dan Meteor Grey. Setiap pembelian akan diberikan perlindungan waranti selama 5 tahun serta pakej servis percuma 2 tahun. Pelanggan juga akan diberikan beg penyejuk eksklusif “Live The Ranger Life” sebagai cenderamata penghantaran.
The post Ford Ranger Raptor Sport dilancarkan di Malaysia – RM274k, edisi terhad, rim 17-inci gaya beadlock appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





























