Ikon supercar Itali, Ferrari SpA (Ferrari), yang terkenal dengan lambang ‘Prancing Horse’, telah kalah dalam kes mahkamah berhubung kes cap dagangan menentang sebuah syarikat minuman tenaga tempatan berkaitan logo kuda berkembar.
Mahkamah Tinggi telah menolak tindakan undang-undang Ferrari terhadap Sunrise-Mark Sdn Bhd, dengan memutuskan bahawa logo “Wee Power” milik syarikat tersebut tidak menyerupai tanda dagangan Ferrari yang terkenal di seluruh dunia dan boleh diteruskan untuk pendaftaran, laporan New Straits Times.
Hakim Adlin Abdul Majid menjelaskan bahawa dakwaan Ferrari mengenai potensi kekeliruan adalah tidak berasas.
Sebagai plaintif, Ferrari telah memfailkan saman pemula terhadap Sunrise-Mark untuk membatalkan keputusan Pendaftar Cap Dagangan yang sebelum ini menolak bantahan jenama supercar ini dan membenarkan permohonan cap dagangan pihak defendan tahun lalu.
Ferrari telah berhujah bahawa cap dagangan milik Sunrise-Mark, yang memaparkan dua ekor kuda melompat saling berhadapan dengan huruf W tebal di tengah-tengah dan perkataan “Wee Power” di bawahnya, telah melanggar hak eksklusif Ferrari terhadap imej ikonik seekor kuda melompat yang digunakan pada kereta, barangan dagangan, dan penjenamaan globalnya.
Ferrari juga cuba memperkecilkan kepentingan perkataan “Wee Power” dengan berhujah bahawa istilah “Power” telah dinyatakan sebagai pengecualian dalam pendaftaran cap dagangan, manakala perkataan “Wee” pula terlalu umum untuk dianggap sebagai sesuatu yang unik.

Bagaimanapun, mahkamah dalam keputusannya bertarikh 30 Mei tidak bersetuju dengan plaintif atas alasan bahawa satu-satunya persamaan antara kedua-dua tanda itu ialah kuda.
“Tanda plaintif ialah tanda peranti dengan seekor kuda berdiri, manakala tanda defendan (Sunrise-Mark) mengandungi dua kuda berdiri yang saling berhadapan. Tanda defendan tidak hanya tertumpu pada kuda yang berdiri kerana ia mengandungi huruf besar W di antara kepala kedua-dua kuda dan perkataan WEE POWER di bawah kuda-kuda itu.
“Saya menerima penjelasan defendan bahawa perkataan WEE berasal daripada nama pengasas defendan, Wee Juan Chien, dan tidak merujuk kepada takrifan biasa perkataan wee dalam bahasa Inggeris. Saya mendapati tidak mungkin defendan berniat untuk menjenamakan minuman tenaganya dengan perkataan yang bermaksud ‘kuasa yang sangat kecil’ atau ‘kuasa yang sangat awal’,” katanya.
Adlin berkata, mahkamah mendapati tiada kemungkinan munasabah bahawa seseorang yang membeli minuman tenaga akan mengelirukannya dengan kenderaan mewah Ferrari.
“Plaintif dan defendan terbabit dalam industri yang berbeza, dengan plaintif dalam industri automotif mewah manakala defendan berurus niaga dalam barangan boleh guna. Kedua-dua jenis produk tidak bersaing antara satu sama lain, dan pelanggan plaintif serta pelanggan defendan tidak mungkin bertindih.
“Saya mendapati tidak mungkin pengguna biasa akan melihat tanda defendan dan membentuk tanggapan bahawa ia serupa dengan tanda plaintif,” katanya. Mahkamah juga memerintahkan Ferrari untuk membayar kos mahkamah.
The post Ferrari gagal saman syarikat minuman tenaga tempatan berhubung kes cap dagangan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.