Dengan harga diesel yang kini telah mencapai RM6.72 seliter, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa biodiesel B100 (diperbuat dari 100% minyak kelapa sawit) boleh diketengahkan sebagai alternatif yang berdaya saing.
Menurut beliau buat masa sekarang pelaksanaan B100 masih di peringkat dasar dan akan dimulakan dengan penggunaan dalam ekosistem FELDA terlebih dahulu.
“Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas), kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi,” katanya kepada dalam laporan Bernama.
Ahmad Shabery menyatakan bahawa harga B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter bergantung pada harga minyak sawit mentah, dan dengan anggaran harga di bawah RM5.00 seliter, penggunaan B100 bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel, malah membuka ruang kepada strategi penstabilan harga bahan api domestik serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
Untuk itu, Ahmad Shabery menyatakan bahawa FELDA dan FGV Holdings Bhd perlu memperluas pembangunan loji pemprosesan biodiesel B100 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Kami sedang mengadakan rundingan bagi menentukan bentuk kerjasama, sama ada melibatkan sektor swasta sepenuhnya, sokongan kerajaan atau pihak lain, dalam usaha memenuhi keperluan peningkatan kapasiti B100,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel telah dilaksanakan melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dengan jarak perjalanan melebihi 50,000 kilometer, manakala ujian percubaan selama empat bulan menggunakan lori tangki turut dijalankan pada 2024.
Pada Mac 2025 kami telah melaporkan bahawa FGV Biotechnologies iaitu anak syarikat FGV telah melancarkan kempen Biodiesel B100 di Fraser Hill, Pahang dan mendedahkan bahawa bahan api berkenaan diuji menggunakan SUV Mazda CX-8 yang dijalankan selama setahun.
The post FELDA mahu dasar jelas berkenaan Biodiesel B100 100% sawit; alternatif berdaya saing, harga lebih stabil appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















