Semalam tular dalam media sosial bahawa sebuah fasiliti pembaikan badan dan cat (B&P) Proton di Sungai Buloh telah terbakar. Oleh itu hari ini Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Menurut Proton, kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 5 petang pada Rabu, 7 Januari 2026 melibatkan salah satu jaringan pusat B&P rasminya iaitu Proton Salient Progress yang terletak di Kampung Baru Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dihubungi dengan segera dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.00 malam.

“Punca kejadian serta tahap kerosakan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan. Setakat ini, Proton mengesahkan bahawa tiada petunjuk yang menunjukkan insiden tersebut berpunca daripada isu berkaitan produk. Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

Menurut syarikat itu lagi insiden ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan dengan kerjasama penuh daripada pihak pengedar.

“Proton akan terus menyokong pengedar terlibat, khususnya dalam menguruskan perkara berkaitan pelanggan, dan pelanggan yang terjejas akan dihubungi dengan segera,” tulis kenyataan itu lagi dan mengesahkan bahawa bilik pameran Salient Progress Kepong 4S di Jln Besar Kepong, Kuala Lumpur tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

The post Fasiliti B&P terbakar – Proton keluar kenyataan rasmi; tiada kecederaan dilapor, bukan isu berkaitan produk appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts