Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Laluan JB Sentral-KL Sentral pada 12 Disember 2025, dengan pelaksanaan empat perkhidmatan sedia ada laluan KL Sentral – Kluang – KL Sentral dilanjutkan ke JB Sentral.
Terkini, KTMB telah mengumumkan bahawa jualan tiket bagi ETS JB Sentral-KL Sentral akan dibuka bermula 12.30 tengah malam ini, 9 Disember 2025. Kadar tambang bagi laluan KL Sentral – JB Sentral bermula dari RM82 sehala. Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, KTMB turut memaparkan kod promo JBBEST untuk para penumpang menikmati diskaun 30% bagi perjalanan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
“Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, mesin kios atau di laman sesawang rasmi KTMB bermula 9 Disember 2025 (Selasa) jam 12.30 tengah malam. Tiket dijual bagi tempoh enam bulan perjalanan sehingga Mei 2026,” kata KTMB.
Pengoperasian ETS JB Sentral-KL Sentral ini turut menandakan bahawa Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang melibatkan pembinaan jajaran 192 kilometer dan 11 stesen telah disiapkan mengikut sasaran yang ditetapkan. Namun demikian, kata KTMB, perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berfasa melibatkan laluan perjalanan ke sektor Utara, selaras dengan proses pentauliahan set ETS.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB (turut memegang tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) Ir. Ahmad Nizam bin Mohamed Amin berkata, “Dengan pembukaan perkhidmatan tren ETS ke JB Sentral, rakyat Johor kini boleh menikmati kemudahan perjalanan terus ke KL Sentral, sebelum bersambung ke destinasi-destinasi lain di utara dan Pantai Timur.
“Pada masa yang sama, akses kepada pengangkutan awam yang selamat, selesa dan bersepadu ini turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat. la bukan sahaja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk dari Singapura, untuk berkunjung ke Malaysia melalui perkhidmatan kereta api.”
Tambahnya, pelaksanaan ini hadir tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun tempoh di mana rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor, manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar Johor melalui sambungan tren ETS. Kemudahan ini sekali gus meningkatkan pergerakan domestik dan merancakkan aktiviti pelancongan serta perniagaan di kedua-dua arah.
“KTMB mengharapkan rakyat Johor tidak ketinggalan untuk merasai pengalaman menaiki tren ETS ini dan rancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih awal. Sehubungan itu, KTMB berbesar hati menawarkan diskaun istimewa 30% untuk perkhidmatan ETS sektor Selatan bagi perjalanan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
“Penumpang boleh menikmati tawaran ini dengan menggunakan kod promosi iaitu JBBEST semasa pembelian tiket. Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. KTMB menggalakkan orang ramai merancang perjalanan awal dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian saat akhir,” katanya lagi.
Pengguna juga diingatkan tiba sekurang- kurangnya 30 minit sebelum berlepas kerana pintu masuk ditutup lima minit sebelum tren bergerak. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
The post ETS JB Sentral-KL Sentral buka jualan tiket mulai 12.30 tengah malam ini – tambang dari RM82 sehala appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















