Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 87% setakat Ogos lalu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Tambahnya, segmen di Terengganu antara yang paling pantas disiapkan berikutan isu tanah telah diselesaikan lebih awal, selain faktor geografi di negeri itu yang rata serta kurang cabaran dari segi pembinaan, laporan Bernama.
“Di Terengganu, pembinaan trek hampir siap, manakala bahagian yang masih belum disiapkan melibatkan jajaran dari Bentong ke Gombak, khususnya Terowong Genting hingga ke Gombak, yang merupakan segmen paling mencabar. Kemajuan ECRL di Kelantan dan Terengganu tidak membimbangkan kerana kebanyakan proses pembinaan telah siap.
“Walau bagaimana pun terdapat isu kecurian kabel di Pahang yang menjejaskan kelancaran kerja pembangunan ECRL di kawasan tersebut. Lebih satu kilometer kabel telah dicuri dan itu menjadi masalah kepada pihak pemaju. Mereka perlu menilai semula pendekatan untuk mempercepatkan proses. Saya telah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis. Tindakan lebih agresif perlu diambil, termasuk menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih tegas untuk menangani isu tersebut,” katanya.
Projek usahasama 50:50 antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction (CCCC) ini diumumkan pada 2016. Ia kemudiannya dibatalkan pada 2018 sebelum disambung semula tahun berikutnya dengan pertukaran jajaran yang terlibat.
Laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang ini akan mempunyai 59 terowong, dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.
The post ECRL kini capai 87% kemajuan setakat Ogos – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.