Hypermotard mula diperkenalkan oleh Ducati pada tahun 2005 dan kini selepas 20 tahun dan melalui pelbagai perubahan, pengeluar dari Itali itu memperkenalkan model generasi keempat, yang lebih moden dan masih mengekalkan karekter ‘nakal’ sebuah motard.
Berita paling utama pada model baru ini adalah enjin, di mana ia sekarang menggunakan unit dua silinder V 890 cc yang enam kilogram lebih ringan berbanding enjin Testastretta 11° 937 cc sebelum ini dan mampu menghasilkan sehingga 120 hp pada 10,750 rpm dan tork 94 Nm pada 8,250 rpm.
Ini adalah enjin sama seperti yang digunakan pada Panigale V2, Streetfighter V2, Multistrada V2 dan Monster, tidak lagi menggunakan sistem injap Desmodromic dan kembali menggunakan spring seperti biasa. Pemilik kini tidak perlu risau dengan ‘servis Desmo’ yang biasanya memakan kos tinggi dan hanya perlu melakukan pemeriksaan (atau pelarasan) kelegaan injap setiap 45,000 km. Penukaran minyak hitam pula disaran dibuat setiap 15,000 km atau dua tahun.
Untuk reka bentuk, Hypermotard V2 mengambil kembali banyak inspirasi daripada Hypermotard 1100 asal, seperti yang boleh dilihat pada lampu hadapan dan belakang, tetapan dua ekzos serta panel tepi. Casis serba barunya juga masih menggunakan struktur trellis di bahagian belakang, dicantumkan bersama kerangka monocoque di hadapan.
Posisi menunggang juga diubah, berbeza berbanding Hypermotard 950, dengan Ducati memberitahu ia sekarang lebih dekat kepada dunia supermotard sebenar, melalui postur yang lebih ke hadapan untuk meningkatkan stabiliti dan menjadikan ia lebih mudah dikendali.
Pada bahagian elektronik, penunggang disediakan dengan empat mod iaitu Race, Sport, Road dan Wet (dihadkan kepada 95 hp). Dalam semua mod ini, parameter campur tangan elektronik boleh dilaras, manakala ABS pula disediakan dalam pilihan empat tahap. Ducati Quick Shifter (DQS) generasi kedua diberikan secara standard.
Hasil daripada penggunaan unit pengukur inertia six-axis, motosikal ini juga dapat disediakan dengan sistem lain seperti Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC) dan Engine Brake Control (EBC). Ducati Power Launch (DPL) dan Ducati Pit Limiter (DPL) pula hanya diberikan secara terus kepada versi SP. Bahagian meter menggunakan panel TFT lima inci.
Untuk memastikan pengendalian kekal mantap, Hypermotard V2 dipasang dengan fork Kayaba 46 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan di belakang. Ia memegang rim aluminium 17 inci, yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso IV bersaiz 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang.
Versi SP kemudiannya dipertingkat lagi dengan suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya (NIX30 di hadapan dan STX 46 di belakang), rim 17 inci forged yang lebih ringan, serta tayar Pirelli Diablo Rosso VI Corsa yang lebih berprestasi. Steering damper Sachs diberikan secara standard untuk kedua-dua versi.
Brek datang daripada Brembo, terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dengan angkup M4.32 empat piston bagi versi biasa dan angkup M50 berserta master pump khas untuk SP. Brek belakang menggunakan cakera tunggal 245 mm bersama angkup dua piston.
Dengan semua perubahan yang dibuat ini, Hypermotard V2 mencatat berat 180 kg bagi versi biasa dan 177 kg bagi SP. Ini adalah 13 kg lebih ringan berbanding Hypermotard 950, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 12.5 liter. Tinggi tempat duduk versi biasa dan SP adalah sama, iaitu 880 mm.
Melengkapkan Hypermotard V2 SP sebagai versi yang lebih tinggi adalah grafik khas dengan logo SP Racing Red dan nombor 20 sempena ulang tahun Hypermotard, mudguard hadapan gentian karbon serta rim warna putih dengan grafik warna merah.
The post Ducati Hypermotard V2 muncul di EICMA 2025 – tiada lagi injap Desmodromic, karekter lebih supermotard appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















































