Model adventure lasak Ducati DesertX diberikan kemas kini signifikan bagi tahun 2026, dengan tumpuan utama untuk meningkatkan prestasi tunggangan offroad serta memudahkan aspek penyelenggaraan. Untuk rekod, DesertX yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2023 ditawarkan pada harga RM112,900 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Sebagai jentera paling berorientasikan offroad dalam barisan motosikal tinggi Ducati selain Multistrada V2, DesertX mengambil inspirasi daripada jentera legenda Cagiva Elefant yang sinonim dengan perlumbaan lasak Paris-Dakar. Model generasi kedua ini dibangunkan hasil maklum balas meluas serta pengalaman perlumbaan dalam acara mencabar seperti Erzbergrodeo dan NORRA Mexican 1000 Rally, sekaligus memastikan peningkatan ketara dalam keupayaan sebenar di laluan ekstrem.
Walaupun memberi penekanan terhadap prestasi offroad, DesertX baru masih mengekalkan keselesaan untuk kegunaan harian. Ia kini dilengkapi sistem suspensi yang dipertingkatkan bersama tangki bahan api baru yang lebih ringan dan ergonomik. Pembangunannya berteraskan enjin Ducati V2 serta kerangka monocoque, sesuai untuk penunggang baru dalam dunia offroad mahupun yang berpengalaman.
Enjin v-twin baru Ducati berkapasiti 890 cc ini merupakan unit empat injap setiap silinder paling ringan pernah dihasilkan di Borgo Panigale. Ia menjana 110 hp pada 9,000 rpm dan 92 Nm tork pada 7,000 rpm, dengan 70 peratus daripada tork maksimum sudah tersedia seawal 3,000 rpm.
Kotak gear enam kelajuan dilengkapi sistem Ducati Quick Shift (DQS) 2.0, dengan nisbah gear pertama hingga keempat yang lebih pendek bagi memudahkan jentera melepasi halangan di laluan mencabar.
Dari sudut ketahanan, sela servis dipanjangkan dengan pemeriksaan kelegaan injap ditetapkan setiap 45,000 km manakala penukaran minyak enjin setiap 15,000 km atau dua tahun. Kerangka monocoque baru menggunakan enjin sebagai elemen struktur selain berfungsi sebagai kotak udara. Kedudukan kotak udara yang baru juga memudahkan akses kepada penapis udara, sekali gus memudahkan proses pembersihan selepas tunggangan offroad.
Sistem brek turut taraf dengan cakera brek hadapan berdiameter 205 mm yang digandingkan bersama angkup monoblok Brembo M4.32. Pam brek kini menggunakan tuil baru yang memberikan rasa dan kawalan lebih baik terutama ketika tunggangan di laluan tidak berturap. Reka bentuk sistem brek ini juga membolehkan pemasangan mudguard tinggi tanpa memerlukan kit tambahan.
Di bahagian roda, DesertX menggunakan rim spoked tanpa tiub bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally Street bersaiz 90/90 dan 150/70. Suspensi hadapan menggunakan fork USD KYB berdiameter 46 mm dengan pelarasan penuh serta jarak gerak 230 mm, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak tunggal KYB dengan pelarasan penuh dan pra-beban, menawarkan jarak gerak 220 mm.
Pakej bantuan elektronik lengkap turut disediakan termasuk Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control dan Engine Brake Control yang semuanya boleh dilaras. Sistem ini dipadankan dengan enam mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Wet untuk jalan raya, serta dua mod khas offroad iaitu Enduro dan Rally.
Tangki bahan api polimer baru berkapasiti 18 liter direka lebih tirus dan ringan, memudahkan pergerakan penunggang di atas pelana. Kedudukan bahan api yang lebih rendah membantu menurunkan pusat graviti, sekaligus meningkatkan kestabilan dan kelincahan pengendalian. Tangki ini juga dilengkapi pelindung khas bagi menahan hentakan ringan ketika terjatuh pada kelajuan rendah.
Paparan meter kini menggunakan skrin TFT bersaiz lima inci beresolusi 800 x 480 bersama dua soket USB sebagai ciri standard. Terdapat tiga mod paparan iaitu Road, Road Pro dan Rally, dengan pertukaran automatik paparan siang dan malam. Mod Rally turut berfungsi sebagai alat navigasi lengkap dengan tripmaster.
Ketinggian tempat duduk standard ditetapkan pada 880 mm, namun Ducati menawarkan pilihan tempat duduk rendah serta kit penurunan suspensi yang mengurangkan ketinggian kepada 840 mm. Pelbagai aksesori tambahan turut ditawarkan menerusi katalog Ducati Performance, termasuk tangki bahan api tambahan untuk jarak tunggangan lebih jauh.
The post Ducati DesertX 2026 diperkenal – banyak bahagian baru termasuk casis dan enjin V2, 110 hp, enam mod appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































