Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua tren tambahan bagi perkhidmatan ETS sempena dengan perayaan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi.
Tren tambahan tersebut akan disediakan antara 17 hingga 22 Oktober ini untuk laluan dua hala iaitu Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar. Jualan tiket dibuka mulai jam 10 pagi esok, 7 Oktober 2025, menerusi aplikasi KITS, kios dan laman web KTMB.
KTMB berkata, sebanyak 630 tempat duduk sehari atau secara keseluruhannya mencecah 3,780 tempat duduk disediakan sepanjang tempoh yang dinyatakan itu, termasuk untuk Kelas Perniagaan. Tren akan berlepas dari Padang Besar pada jam 11.05 pagi dan tiba di KL Sentral pada 4.30 petang. Kemudian tren akan bergerak semula dari KL Sentral jam 5 petang dan tiba di Padang Besar pada jam 10.20 malam.
Penumpang perkhidmatan ETS disarankan agar merancang perjalanan serta membeli tiket awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan dan mengelak kehabisan tiket pada saat akhir. Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.
The post Dua tren tambahan KTM ETS sempena Deepavali appeared first on Paul Tan’s Automotive News.