Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan diskaun tol 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025 kepada para pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat berikutan pemberian diskaun tol 50% sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini.
“Pemberian diskaun tol 50% ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambahnya lagi, pemilihan tarikh ini juga adalah sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuhraya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui aplikasi TuJu Highway Navigation dan aplikasi MyLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar. Di samping itu, pengguna lebuhraya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan memathi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” katanya lagi.
Alexander turut menitipkan pesanan agar para pengguna memandu dengan berhemah dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah dietapkan. “Berehatlah jika keletihan dan mengantuk dan bersama-samalah kita sema bekerjasama dalam menjadikan lebuhraya kita sentiasa selamat, bersih dan selesa serta berusaha mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” tambahnya lagi.
Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @LLMtrafik dan Tiktok @limtrafik secara berkala. Atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800- 88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat terkini keadaan trafik.
The post Diskaun tol 50% pada 23-24 Dis sempena Krismas; kenderaan Kelas 1, kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















