Denza Malaysia telah umumkan perubahan bagi selang tempoh penyelenggaraan berjadual bagi model MPV D9 yang dijual jenama itu di sini.
Perubahan berkenaan melibatkan penyelenggaraan berjadual yang pertama, yang mana sebelum ini dilakukan pada 5,000 km atau tiga bulan (yang mana dahulu). Bermula 1 Julai 2025, selang tempoh bagi servis pertama berkenaan telah dinaikkan kepada 20,000 km atau 12 bulan/setahun.
“Perubahan ini mencerminkan keyakinan tinggi Denza terhadap ketahanan dan keupayaan kenderaan keluarannya, hasil daripada kejuruteraan serta pengeluaran termaju yang digunakan,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.
“Lanjutan tempoh bagi servis berjadual pertama ini adalah bukti kepada kualiti dan ketahanan yang dibawakan oleh setiap kenderaan Denza,” ujar Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.
“Kami sangat berbangga dengan kecemerlangan kejuruteraan kami, yang membolehkan kami menawarkan ini dengan yakin kepada semua pelanggan. Langkah ini juga tidak hanya menegaskan lagi kesungguhan kami untuk membawakan pengalaman pemilikan premium, tetapi juga mencerminkan kepercayaan kami terhadap ketahanan jangka panjang produk-produk kami,” tambah beliau.
The post Denza Malaysia ubah tempoh jadual selenggara D9 — servis pertama kini pada 20,000 km/12-bulan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.