Jenama premium BYD iaitu Denza akan melancarkan satu lagi model ke pasaran Malaysia, kali ini merupakan SUV off-road yang dikenali sebagai Denza B8, dan pendaftaran minat (ROI) untuk pelanggan di pasaran tempatan telah pun dibuka awal bulan ini.
Di China Denza B8 ini dikenali sebagai Bao 8 dan dijual menerusi jenama off-road BYD iaitu Fangchengbao. B8 merupakan SUV jenis body-on-frame seperti Toyota Land Cruiser, namun ia digerakkan oleh unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) BYD yang dikenali sebagai DMO (Dual-Mode Off-road).
Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik di mana masing-masing diletak pada gandar hadapan dan gandar belakang seperti EV sebenar untuk memacu semua roda. Motor pada gandar hadapan mampu menghasilkan kuasa 272 PS/360 Nm, manakala motor pada gandar belakang pula adalah lebih berkuasa dengan 408 PS/400 Nm.
Tidak cukup dengan itu, unit rangkaian kuasa DMO pada Denza D8 ini juga dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 197 PS dan tork maksima 350 Nm. Jadi secara keseluruhan SUV ini dibekalkan dengan kuasa 578 PS (425 kW) dan tork maksima 760 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.
Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa daru bateri Blade 36.8 kWj yang membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sejauh 115 km dalam kitaran ujian NEDC (100 km WLTP). Manakala enjin pembakaran dalaman pula menerima bekalan petrol dari tangki gergasi sebesar 91 liter. Dengan satu cas bateri penuh dan satu tangki petrol penuh membolehkan SUV ini bergerak sejauh 905 km.
Bateri Blade berkenaan boleh dicas semula menggunakan pengecas pantas DC sehingga 120 kW, membolehkan cas dari 30-80% dipenuhkan dalam masa 16 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan sehingga 11 kW, dan kuasa dari bateri turut boleh dikeluarkan untuk kegunaan peralatan elektrik lain menerusi sistem V2L (vehicle-to-load) 6.5 kW AC.
Seperti kebanyakkan sistem PHEV yang dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar automotif China yang lain, kenderaan ini akan bergerak dengan hanya kuasa elektrik sehingga cas berbaki 25%, dan selepas itu enjin petrol akan dihidupkan untuk mengecas semula bateri.
Selain dari motor elektrik, gandar hadapan dan belakang SUV ini juga disertakan dengan locking differential bagi memberikan cengkaman lebih baik ketika melalui laluan off-road. Selain itu Denza B8 ini juga dilengkapi sistem suspensi hidraulik DiSus-P yang membolehkan ketinggiannya dilaras sehingga 140 mm. Ini membolehkan ia meredah sungai atau banjir dengan kedalaman sehingga 890 mm, serta sudut approach dan berlepas dapat ditambah sehingga masing-masing 34 dan 35 darjah.
SUV ini pernah dipamerkan di Thailand ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2026. Jadi dapat dilihat ia menerima beberapa perincian lain termasuk paparan instrumen 12.3-inci, skrin sesentuh utama 17.3-inci dan juga satu lagi skrin untuk penumpang hadapan bersaiz 12.3-inci.
Ia juga ditawarkan dalam konfigurasi enam-tempat duduk dengan tempat duduk kapten bersama ottoman pada baris kedua dan juga tujuh-tempat duduk dengan diberikan kerusi jenis bench pada baris kedua bersama fungsi larasan elektrik serta pemanas dan pengalir udara.
Kesemua tempat duduk pada baris kedua dan ketiga boleh dilipat dan dibangunkan semula secara elektrik, manakala ruang kargo di belakang pula berkapasiti 147 liter sehingga 920 liter untuk versi tujuh-tempat duduk dan 902 liter untuk versi enam-tempat duduk.
GALERI: Denza B8 di BIMS 2026
The post Denza B8 bakal tiba di Malaysia – SUV body-on-frame PHEV dengan kuasa 578 PS /760 Nm, ROI dibuka appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































