Pada 2 Februari lalu, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) telah mengeluarkan peraturan yang mewajibkan kereta yang dijual di negara itu perlu mempunyai pembuka pintu secara mekanikal pada bahagian dalam dan luar kenderaan.
Peraturan ini menandakan berakhirnya penggunaan pemegang pintu tersembunyi, termasuk yang menggunakan kuasa elektrik atau jenis yang timbul keluar apabila bahagian hujung pemegang pintu ditekan. Reka bentuk ini popular di kalangan pengeluar kereta bagi meningkatkan jarak pacuan bagi kenderaan elektrik (EV) untuk membuatkan badan kenderaan lebih aerodinamik.
Kementerian terbabit turut mewajibkan kereta mesti terdapat ruang lekuk berukuran sekurang-kurangnya 6 cm x 2 cm x 2.5 cm bagi membolehkan tangan menggenggam pemegang pintu, dengan ruang operasi untuk membuka pintu tidak kurang daripada 30 sentimeter padu. Walau bagaimana pun, pemegang pintu separa tersembunyi masih dibenarkan. Untuk bahagian dalam pula, mesti mempunyai tanda berukuran tidak kurang daripada 1 cm x 0.7 cm bagi menunjukkan cara membuka pintu. Lokasi menempatkan pemegang dan tanda tersebut juga dinyatakan dalam peraturan berkenaan.

Walaupun buat masa ini peraturan tersebut hanya melibatkan China, namun ia berpotensi memberi kesan lebih besar kepada industri automotif kerana negara lain mungkin akan mengikut langkah yang sama. Kesatuan Eropah (EU) juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan peraturan serupa, malah pintu kenderaan keluaran Tesla kini sedang disiasat oleh pengawal selia keselamatan di Amerika Syarikat (AS)
Menurut Bloomberg serta beberapa media berpangkalan di China, peraturan baharu ini diperkenalkan selepas beberapa kemalangan berprofil tinggi di republik berkenaan di mana pintu kereta EV dilaporkan gagal dibuka akibat gangguan bekalan kuasa, sekali gus menghalang penumpang untuk keluar dari kenderaan atau diselamatkan.
Peraturan baharu China berkenaan pemegang pintu ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2027, namun kenderaan yang telah diluluskan untuk dijual di China dan bakal dilancarkan diberi tempoh sehingga Januari 2029 untuk mengubah reka bentuk bagi mematuhi peraturan tersebut.
The post China haramkan pemegang pintu tersembunyi bagi kenderaan berkuatkuasa 1 Januari 2027 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















