Chery terus menunjukkan prestasi luar biasa apabila mengumumkan telah mencapai angka eksport sebanyak lima juta unit kenderaan setakat bulan lalu. Ini menjadikan Chery sebagai pengeluar kereta pertama dari China yang berjaya mencapai tahap tersebut. Dalam masa yang sama, Chery turut mencatat peningkatan paling pantas dalam kedudukan senarai Fortune Global 500 untuk tahun 2025, melonjak 152 anak tangga ke tempat nombor 233.
Kejayaan ini bermula sejak tahun 2001 apabila Chery menghantar eksport pertamanya – model Fulwin – ke Timur Tengah, dengan hanya sepuluh unit dalam penghantaran awal itu. Pada ketika itu, jumlah eksport automotif China hanyalah sekitar 26,000 unit. Namun kini, dalam tempoh lebih dua dekad, Chery telah berjaya mengeksport sebanyak 1.14 juta kenderaan hanya dalam tahun lalu sahaja. Ini menjadikannya pengeluar eksport kenderaan utama China selama 22 tahun berturut-turut. Secara purata, sebuah kereta keluaran Chery dihantar ke pelanggan luar negara setiap 27 saat.
Chery turut melaporkan bahawa mereka masih menerajui jumlah eksport automotif China bagi separuh pertama tahun ini. Syarikat itu menghantar keluar sebanyak 550,000 unit kenderaan, bersamaan satu daripada setiap lima kereta buatan China yang dieksport. Angka ini merangkumi 44% daripada jumlah keseluruhan jualan syarikat sepanjang tempoh tersebut.
Pertumbuhan jualan yang ketara turut dicatatkan di pasaran Eropah, di mana jumlah jualan Chery meningkat hampir sebelas kali ganda kepada lebih 30,000 unit dalam enam bulan pertama tahun ini. Jualan untuk bulan Jun sahaja meningkat lebih enam kali ganda. Daripada jumlah itu, sebanyak 45% merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV), menunjukkan penerimaan positif terhadap teknologi elektrifikasi yang dibawa oleh Chery.
Strategi pelbagai jenama yang digunakan oleh Chery untuk pasaran global turut menunjukkan hasil. Syarikat ini telah melancarkan jenama Omoda dan Jaecoo sebagai pelengkap kepada jenama utama Chery, manakala dua lagi jenama baharu, iCaur dan Lepas, dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Walaupun tidak dinyatakan sama ada angka jualan ini turut merangkumi jenama Jetour yang turut dimiliki oleh Chery, jenama itu beroperasi secara berasingan dan tidak dikendalikan di bawah anak syarikat utama Chery Automobile.
Walaupun Chery mendahului, saingan dari syarikat lain semakin sengit, terutamanya daripada BYD. Menurut Yiche – , pengeluar kenderaan elektrik itu telah mengeksport sebanyak 443,100 unit kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini – kesemuanya terdiri daripada kenderaan tenaga baharu.
The post Chery pengeluar China pertama capai jumlah eksport lima juta kenderaan – 550,000 unit pada 1H 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.