Ternyata langkah Chery Malaysia di dalam dunia automotif tempatan kian rancak dan berkembang. Buktinya, sejak pelancaran semulanya pada pertengahan tahun 2023, syarikat ini berjaya menjual sebanyak 30,073 unit kereta di sini, termasuk 12,930 unit pada tahun lalu. Ini bersamaan dengan purata lebih 1,000 unit setiap bulan.
Jenama ini memulakan kebangkitan semulanya di Malaysia dengan pelancaran Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro pada Julai 2023. Manakala Omoda E5, kenderaan elektrik (EV) pertamanya di negara ini menyusul pada Mac 2024, diikuti pelancaran Tiggo 7 Pro pada Jun 2024, Tiggo Cross pada Julai 2025, dan yang terbaru Tiggo 7 PHEV serta Tiggo 8 PHEV pada Oktober 2025.
Buat masa ini, kenderaan berjenama Chery dipasang di kilang Inokom di Kulim (manakala kilang Shah Alam mengeluarkan model Omoda dan Jaecoo). Namun, menjelang akhir tahun ini, Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery dijangka menyiapkan fasa pembinaan pertamanya. Terletak di Beringin High-Tech Auto Valley, Hulu Selangor, kemudahan seluas 200 ekar bernilai RM2.2 bilion ini mensasarkan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 unit setahun.
The post Chery Malaysia jual lebih 30,000 unit kereta sejak 2023 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















