Chery sekali lagi mencuri perhatian apabila memperkenalkan sebuah trak pikap konsep baru yang dikenali dengan kod nama KP31 di Sydney. Model ini dilihat lebih canggih berbanding KP11 yang pernah dipamerkan di Auto Shanghai dan kemudiannya dilancarkan di China sebagai Rely R08.
Trak konsep KP31 ini memberi bayangan awal kepada model produksi yang dijangka memasuki pasaran Australia pada suku keempat tahun ini. Dari segi reka bentuk, penampilannya jelas mengingatkan kepada Ford Bronco, terutama pada bahagian hadapan yang menampilkan gril melintang penuh, lampu utama bulat serta bampar plastik yang tebal dan lasak. Reka bentuk ini menjadikan KP31 antara model dari China yang paling ketara meniru gaya SUV offroad Amerika tersebut.
Namun begitu, gabungan rekaan seperti fender berkotak, badan dua kabin yang tegak serta pemegang pintu dan cermin sisi bersaiz besar menjadikan KP31 tampil lebih garang dan menarik berbanding R08 yang kelihatan lebih sederhana.
Berbeza dengan Bronco, KP31 mengekalkan konfigurasi trak pikap sebenar dengan ruang kargo belakang bersaiz penuh. Ia turut dilengkapi tangga sisi binaan dalam, lampu belakang menegak berciri futuristik serta kemasan pintu belakang dengan tulisan besar jenama Chery.
Dari segi dimensi, trak konsep ini berukuran 5,610 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,925 mm tinggi, menjadikannya sangat besar. Walaubagaimanapun, versi produksi sebenar dijangka lebih kompak dengan panjang sekitar 5,450 mm. Walaupun lebih pendek berbanding konsep, ia masih 80 mm lebih panjang daripada Ford Ranger.
Keistimewaan utama KP31 terletak di bawah bonet hadapan apabila ia bakal menggunakan rangkaian kuasa plug-in hybrid diesel, yang menurut Chery merupakan trak pikap pertama di dunia dengan teknologi sedemikian. Sistem ini digerakkan oleh enjin turbodiesel 2.5 liter yang mencapai kecekapan terma sehingga 47 peratus.
Hasilnya, penggunaan bahan api dikurangkan sebanyak 10 peratus berbanding trak pikap diesel konvensional. Model ini juga disasarkan mampu membawa muatan sehingga 1,000 kg dan menawarkan kapasiti menunda 3.5 tan, setanding dengan pesaing dalam segmennya. Selain itu, tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) dikatakan berkurang sehingga 30 peratus. Varian plug-in hybrid petrol pula dijangka menyertai barisan model ini pada tahun hadapan.
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada KP31 akan dipasarkan di bawah jenama Himla atau menggunakan jenama utama Chery. Turut menjadi persoalan ialah sama ada ia bakal menggantikan R08 dalam perancangan global syarikat tersebut.
Memandangkan model ini sudah disahkan akan ditawarkan dalam versi pemanduan sebelah kanan untuk pasaran Australia, besar kemungkinan ia akan bersaing secara langsung dengan Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Ford Ranger serta model baru seperti BYD Shark 6 yang dijangka memasuki pasaran.
The post Chery KP31 didedah – trak pikap konsep diesel PHEV rupa seperti Ford Bronco, bakal tiba di Malaysia? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























