Bukan semua orang yang melalui jalan Genting Highland untuk bercuti, justeru kerajaan Pahang berharap pengumuman Genting Malaysia yang mahu mengenakan caj jalan untuk mereka yang melalui jalan tersebut turut mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Pahang Datuk Razali Kassim berkata pihak terbabit juga disaran memberi perhatian khusus kepada kebajikan dan komuniti pekerja di kawasan berkenaan. “Ini termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk yang melalui kawasan itu setiap hari,” katanya dalam laporan Bernama.
Sebelum itu Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman juga menyuarakan perkara yang sama dengan menyatakan bahawa syarikat tersebut perlu mempertimbangkan pengecualian tol atau diskain bagi penduduk tempatan, pekerja dan keluarga-keluarga dengan anak-anak yang bersekolah di Genting.
Dalam pengumuman yang dibuat minggu lalu Genting Malaysia menyatakan bahawa langkah untuk mengenakan caj ini adalah perlu kerana jalan mendaki bukit sepanjang 24 km berkenaan merupakan jalan persendirian dan kos bagi menyelenggaranya kini semakin tinggi, dan kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh syarikat itu sejak 1960’an.
Syarikat itu juga menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
The post Caj jalan Genting Highland perlu ambil kira mereka yang perlu lalu jalan tersebut setiap hari – Exco appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















