Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan supaya sebarang kutipan yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung cukai jalan dan segala saman had laju diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk digunakan bagi membaikpulih jalan rosak masih tidak mendapat maklum balas.
“Perkara ini sudah pun disuarakan namun tidak mendapat maklum balas. Justeru, sekiranya ada cadangan daripada pihak tertentu pertimbang untuk menaikkan cukai untuk kenderaan yang membawa muatan berat, kita serahkan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian
Beliau berkata demikian susulan pendapat pihak tertentu yang sebelum ini supaya kerajaan perlu mempertimbangkan kenaikan cukai jqlqn ke atas kenderaan yang membawa muatan berat seperti lori dan treler yang menjadi punca utama kerosakan jalan raya dan menggunakan hasil itu untuk membaik jalan yang rosak.
“Memang untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan di seluruh negara kita memerlukan RM4 bilion, namun kita tidak pernah mendapat peruntukan sebanyak itu sebaliknya kita mendapat hampir RM2 bilion saja kerana kerajaan sendiri mempunyai kekangan tertentu.
“Namun, kita sentiasa berharap akan mendapat peruntukan yang lebih setiap tahun bagi membaik pulih jalan yang rosak kerana ada jalan sudah ‘berusia’ dan permukaannya perlu diturap. Apa yang kita kenal pasti dua faktor yang menyumbang kepada jalan rosak adalah cuaca dan kenderaan berat yang membawa lebih muatan,” katanya.
The post Cadangan untuk JPJ salurkan hasil cukai jalan, saman had laju bagi baikpulih jalan tiada respons – KKR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.