Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara yang dikenakan, laporan Bernama.

Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah ini selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020,” katanya yang turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Tambah beliau, MOT memandang serius kejadian nyawa terkorban angkara pemandu bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, malah kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

Cadang wajibkan pesalah mabuk, bawah pengaruh dadah bayar gantirugi kepada keluarga mangsa – Loke

Menurut Akta 333 mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

“Justeru, MOT menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyegerakan siasatan kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Klang kelmarin secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan, seterusnya berharap agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, kereta jenis Honda City berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan. Perlanggaran itu menyebabkan Allahyarham Amirul Hafiz Omar tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia. Hasil ujian saringan mendapati pemandu Honda City itu positif alkohol serta dadah.

The post Cadang wajibkan pesalah mabuk, bawah pengaruh dadah bayar gantirugi kepada keluarga mangsa – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts