BYD Malaysia memperkenalkan pilihan warna baru Ivory Gold untuk BYD Seal 6 EV, memberikan sentuhan lebih mewah kepada sedan elektrik popular itu. Warna eksklusif ini hanya ditawarkan untuk 100 unit sahaja di pasaran tempatan.
Model Seal 6 EV sebelum ini dilancarkan pada September lepas dengan tiga pilihan warna asal iaitu Arctic White, Harbour Grey dan Misty Blue. Menariknya, warna baru Ivory Gold ini tidak dikenakan sebarang caj tambahan, namun hanya boleh didapati pada varian tertinggi Premium.
Harga rasmi untuk varian Premium kekal pada RM115,800 (harga runcit disyorkan), atau RM116,500 atas jalan tanpa insurans.
Dari segi spesifikasi, BYD Seal 6 EV Premium dilengkapi bateri Blade LFP (lithium iron phosphate) berkapasiti 56.64 kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 485 km mengikut piawaian NEDC atau sekitar 410 km berdasarkan WLTP. Kuasa disalurkan kepada motor elektrik hadapan yang menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 330 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat.
Kenderaan ini menyokong pengecasan AC Type 2 sehingga 7 kW, manakala pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 100 kW mampu mengisi bateri dari 30% ke 80% dalam hanya 23 minit. Seal 6 EV turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kuasa output sehingga 3.7 kW, membolehkan pengguna menyalurkan tenaga elektrik kepada peralatan luaran seperti perkakas atau peranti mudah alih.
Dari segi kelengkapan, varian Premium hadir lengkap dengan rim aloi 18 inci, bumbung panoramik, paparan digital 8.8 inci, tempat duduk pemandu boleh laras elektrik lapan arah, serta enam beg udara dan sistem keselamatan pasif standard. Ia juga menawarkan pakej keselamatan ADAS termasuk brek kecemasan automatik (AEB), kawalan kelajuan adaptif, amaran keluar lorong serta kamera pandang sekeliling 360 darjah.
The post BYD Seal 6 EV dapat pilihan warna Ivory Gold – tiada caj tambahan, terhad untuk 100 unit varian Premium appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















