Selepas menerima versi facelift di China awal tahun ini, BYD Atto 3 kini bakal diberi peningkatan mekanikal yang penting. Sebelum ini, ada laporan yang menyebut yang SUV elektrik berkenaan akan menerima peningkatan prestasi dengan memanfaatkan motor dari Seal Premium, yang menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 360 Nm yang memacu roda depan.
Laporan itu juga memberi bayangan sebuah bateri baru, dan kini dalam satu fail dari Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China mendedahkam kereta tersebut akan dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 74.88 kWj yang lebih berkuasa, menurut Autohome. Atto 3 sebelum ini mempunyai kapasiti maksimum 60.48 kWj – ini melibatkan peningkatan sebanyak 24%.
Ini akan memberi kesan kepada jarak perjalanan yang boleh dicapai, yang meningkat dari 510 km bagi model long range kepada 650 km. Ini mengikut kitaran CLTC; untuk WLTP ia sekitar 530 km (model semasa sekitar 430 km).
Perubahan ini bersekali dengan penggunaan binaan elektrikal 800-volt yang bakal menyaksikan kapasiti pengecasan meningkat dari 88 kW kepada 150 kW — sama seperti Seal. Port pengecasannya juga akan dipindahkan ke bahagian fender belakang dari bahagian depan.
Selain daripada itu, rupa luaran semuanya kekal sama seperti kandungan dalam fail MIIT yang bocor sebelum ini. Ini termasuklah bampar depan dan belakang yang lebih sporty, rekaan rim baru dan juga jalur krom tiang D dan juga tingkap kecil. Di dalam, papan pemuka dan panel pintu lebih lembut dan ringkas. Paparan instrumen digital 8.8-inci juga akan dikekalkan.
Dengan angka janaan dan prestasi terbaru ini, Atto 3 akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan pesaing lain seperti model-model keluaran Geely/Proton, MG, Leapmotor dan GWM. Ini juga telah menyebabkan BYD ikut serta perang harga yang berlangsung di China dan pasaran luar.
The post BYD Atto 3 <em>facelift</em> 2026 terima bateri LFP 74.88 kWj, jarak 650 km CLTC — 313 PS, pengecasan DC 150 kW appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















