Model terbaru BYD Atto 3 versi facelift untuk tahun 2026 bakal tampil dengan peningkatan kuasa yang ketara apabila dilengkapi motor elektrik berkuasa 308 hp, diambil daripada model Seal. Menurut laporan Car News China, peningkatan ini juga menunjukkan bahawa model ini mungkin akan menerima seni bina elektrik 800-volt, sekaligus membolehkannya menyokong pengecasan pantas DC yang lebih laju.
Meskipun dimensi luarannya kekal sama seperti sebelum ini, iaitu panjang 4,455 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,615 mm dan jarak antara roda 2,720 mm — berat Atto 3 baru bagaimanapun telah meningkat kepada 1,880 kg berbanding hanya 1,625 kg sebelum ini. Peningkatan berat ini dipercayai berpunca daripada penggunaan pek bateri yang lebih besar, walaupun kapasiti sebenar bateri masih belum diumumkan.
Versi facelift ini juga dikatakan akan menggunakan bateri daripada FinDreams dan kombinasi bersama motor berkuasa tinggi seperti yang terdapat pada model Seal dan Denza N7, menguatkan lagi spekulasi mengenai penggunaan sistem 800-volt. Dengan ini, Atto 3 2026 akan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW — hampir dua kali ganda lebih pantas berbanding 88 kW pada model terdahulu.
Dikenali sebagai Yuan Plus di China, Atto 3 facelift hadir dengan rekaan luaran yang lebih moden dan menyerupai model lebih kecil dalam barisan BYD iaitu Atto 2 (Yuan Up di pasaran China). Antara perubahan reka bentuk termasuk bahagian bampar depan yang kini tampil dengan potongan lebih tajam serta kemasan salur udara yang direka semula. Bahagian bampar belakang juga menerima sentuhan serupa dengan rekaan diffuser berwarna kontras di bahagian bawah.
Spoiler baru turut dipasang di bahagian atas pintu but dengan rekaan tengah yang melengkung dan lampu brek berkembar menyerupai simbol ‘pause’. Lampu belakang pula menerima elemen rekaan berombak yang diambil daripada model Atto 2 dan Dolphin. Panel tiang-C kini tampil lebih ringkas, manakala reka bentuk rim aloi baru lebih tertutup bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik. Kamera hadapan juga telah diposisikan lebih tinggi pada bampar.
Di Malaysia, BYD Atto 3 masih ditawarkan dalam versi sebelum facelift sebagai varian Ultra, dijual pada harga RM123,800 — penurunan sebanyak RM44,000 daripada harga pelancarannya pada tahun 2023 iaitu RM167,800 untuk varian Extended Range dengan bateri berkapasiti 60.48 kWh.
The post BYD Atto 3 facelift 2026 dapat motor elektrik daripada Seal, binaan elektrik 800 volt, pengecasan DC 150 kW appeared first on Paul Tan’s Automotive News.