Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa golongan T15 di negara ini hanya boleh dikecualikan dari menerima subsidi RON95 selepas sistem yang kini digunakan lebih mantap.
Katanya lagi, pengecualian pemberian itu untuk mereka yang memperoleh pendapatan tinggi dan menggunakan kenderaan mewah, laporan Berita Harian.
“Sekarang pandangan kita, kita jalankan Budi Madani RON95 (Budi95) ini dulu. Kalau ada keperluan di masa akan datang, di mana sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenakan (pengecualian pemberian subsidi RON95 kepada T15) bagi yang (mempunyai pendapatan) benar-benar tinggi atau (menggunakan) kenderaan betul-betul mewah,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai mengapa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Budi95 yang memanfaatkan semua warganegara termasuk golongan T15.

“Dengan pelaksanaan Budi95, kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion. Ada yang mengatakan bahawa ini lebih rendah daripada yang disasarkan pada peringkat awal mengikut kajian Bank Dunia. Saya tidak setuju sebab kita lihat penyasaran subsidi dari segi keseluruhan,” katanya.
Selain itu katanya, dengan beberapa penyasaran subsidi lain yang dilaksanakan seperti diesel, kerajaan juga dapat menjimatkan sebanyak RM5 bilion.
“Dari (penyasaran subsidi) diesel, RM5 bilion kita selamatkan. RM5 bilion itu kerana sistem lama (digunakan) terlalu banyak penyeludupan dan ketirisan. Mengikut pendapat saya, ini sudah cukuplah bagi kerajaan supaya kita laksanakan dengan hati-hati supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
The post Budi95: Pengecualian untuk golongan T15 selepas sistem yang kini digunakan lebih mantap – PM Anwar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















