Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa majikan tidak dibenarkan mengarah pekerja untuk mengisi petrol menggunakan bantuan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) bagi kegunaan kenderaan milik syarikat, laporan Bernama.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

“Itu salah. Jadi sekiranya ada mana-mana pekerja yang diarah oleh syarikat untuk mengisi kenderaan syarikat, kenderaan milik syarikat untuk tujuan itu, boleh buat laporan kepada pihak KPDN ataupun maklumkan pihak berwajib untuk mengambil tindakan,” katanya.

Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video tular membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang didakwa mengisi petrol untuk kenderaan majikannya menggunakan bantuan subsidi bersasar Budi95.

“Saya ada teliti satu video tular melibatkan sebuah syarikat kurier baru-baru ini, dan saya telah minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat kurier itu kerana syarikat kurier menerima lesen daripada MCMC.

“CEO syarikat kurier itu mengakui bahawa mereka mempunyai fleet card dan pekerja berkenaan telah pun menurunkan kandungan tersebut. Syarikat kurier itu memaklumkan kepada pihak MCMC bahawa pekerja tersebut telah memohon maaf,” katanya.

Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi

Fahmi turut menambah beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC) bagi meneliti mekanisme bantuan yang bersesuaian untuk pekerja syarikat penghantaran, khususnya dalam kalangan pekerja ekonomi gig.

“Sebab kita tahu ada dua kategori (pekerja penghantaran), mereka yang bekerja secara tetap dengan syarikat, maka syarikat penghantaran ini akan menyediakan fleet card. Tetapi sekiranya mereka pekerja gig, jadi dalam aspek itu pihak Kementerian Kewangan sedang meneliti kemungkinan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pekerja gig yang mendapat kuota Budi95,” katanya.

Dengan kemas kini harga bahan api terbaru yang dikeluarkan semalam, Kementerian Kewangan telah menegaskan bahawa harga tanpa subsidi bagi petrol RON95 akan kekal pada kadar RM2.60 seliter bagi bulan Oktober 2025. Rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah dan layak untuk program Budi95 akan dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan kuota bulanan sebanyak 300 liter.

The post Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts