Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa kini tambahan lebih 31,000 rakyat Malaysia menerima manfaat sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95), selepas kerajaan mengaktifkan kelayakan kepada tiga kelompok baharu. Salah satu kelompok berkenaan melibatkan lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut kenyataan yang baru dikeluarkan, dua lagi kelompok baharu itu melibatkan lebih 17,900 nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lebih 4,300 pemilik bot persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Dalam masa yang sama, MoF turut berkata, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.
“Kerajaan Madani kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan Budi95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bermula 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas berpeluang menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak. Syarat kelayakan lain bagi menikmati Budi95 ialah perlu mempunyai lesen memandu yang sah. Manakala golongan bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi dan perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter.
The post Budi95: Lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu kini layak menikmati subsidi petrol RON95 – MoF appeared first on Paul Tan’s Automotive News.