Pelaksanaan Budi Madani RON 95 (Budi95) telah pun berlangsung selama sebulan dan Kementerian Kewangan (MOF) telah berkongsi beberapa statistik menarik menerusi kenyataan media pada 1 November 2025.
Menurut MOF, bermula pelancarannya pada 30 September hingga 31 Oktober, seramai 13.1 juta daripada 16.55 juta rakyat Malaysia yang layak (79%) telah membeli 1.33 bilion liter petrol RON 95 pada harga subsidi RM1.99 seliter (jumlah RM2.66 bilion), termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak mempunyai lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Kerajaan Malaysia juga telah membelanjakan sebanyak RM800 juta dalam bentuk subsidi bagi pelaksanaan Budi95 ini.
“Budi95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, serta membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sejak 13 Oktober, kerajaan telah meningkatkan dua kali ganda kuota bulanan RON 95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter, memberi manfaat kepada hampir 58,000 orang. Secara purata, penerima Budi95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan bulanan sebanyak 98.2 liter pada bulan Oktober – tiga kali lebih rendah daripada had maksimum 300 liter. Dan sehingga 26 Oktober, kurang daripada 0.7% daripada semua penerima Budi95 telah menggunakan sepenuhnya kuota bulanan mereka (0.6% pengguna persendirian dan 0.3% pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu).
Menurut MOF, kerajaan akan terus menambah baik pelaksanaan program ini, termasuk menyemak semula kuota tambahan e-hailing agar lebih adil dan menyeluruh. Beberapa pola penggunaan luar biasa telah dikenal pasti, termasuk penerima yang menghabiskan kuota bulanan dalam tempoh singkat serta kekerapan pembelian petrol di stesen berhampiran sempadan negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penipuan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak layak. Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa MOF dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertingkat pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna bagi mengelakkan penyalahgunaan Budi95.
The post Budi95: Bulan pertama catat lebih 13j pengguna, RM800j disubsidi, 0.6% pengguna capai had 300L appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















