Memang banyak kes berlaku melibatkan individu bawah umur yang memandu tanpa lesen, kebiasaannya kenderaan dibawa keluar untuk bersiar-siar tanpa pengetahuan pemilik kenderaan. Tapi ada juga pemilik kenderaan sendiri yang memberikan kebenaran, termasuk ada sendiri bersama individu bawah umur berkenaan di dalam kenderaan tersebut.
Inilah yang terjadi di Kedah pada minggu lalu apabila seorang budak lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana memandu kereta – dengan bapanya duduk di tempat penumpang hadapan, semasa operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kulim, laporan Malay Mail.
Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, budak lelaki terbabit memandu sebuah Perodua Kancil sebelum ditahan kira-kira 12.45 tengah hari pada 5 Mac di Jalan Sungai Seluang semasa operasi dijalankan oleh JPJ cawangan Sungai Petani. Pemeriksaan mendapati budak tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah kerana belum mencapai umur minimum yang dibenarkan untuk mendapatkan lesen, satu kesalahan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Budak lelaki tersebut memaklumkan kepada pegawai penguatkuasa bahawa dia “tiada pilihan” selain memandu kerana bapanya tidak sihat dan perlu menyelesaikan satu urusan. Walau bagaimanaa pun, JPJ tetap mengeluarkan saman kerana memandu di bawah umur, manakala bapanya turut dikenakan denda. Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut mempunyai cukai jalan yang sah dan tidak disita.
Walaupun tiada kejadian buruk berlaku dalam kes ini, membenarkan individu bawah umur memandu kenderaan boleh membawa akibat yang serius malah meragut nyawa. Minggu lalu, The Star melaporkan bahawa seorang wanita yang membenarkan anak lelakinya berusia 17 tahun memandu keretanya – yang kemudiannya terlibat dalam kemalangan sehingga meragut tiga nyawa – telah didenda RM1,500 oleh mahkamah majistret di Seremban.
Dalam kejadian kemalangan tersebut, anak lelaki tertuduh melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua buah motosikal, menyebabkan tiga remaja berusia 15, 16 dan 17 tahun maut. Remaja itu pada awalnya mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa atas kesalahan memandu secara melulu pada 22 April tahun lalu, namun kemudian menukar pengakuan kepada bersalah pada Disember. Dia dijadualkan menerima hukuman pada bulan Mei ini, sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
The post Budak lelaki 13 tahun ditahan sewaktu memandu, beri alasan bapanya yang turut bersamanya tidak sihat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















