Pemilik kenderaan pendaftaran asing termasuk Malaysia diwajibkan untuk mengisi bahan api kereta mereka sebelum memasuki Brunei. Ini kerana berkuatkuasa semalam (1 April), Brunei telah mula mewajibkan semua kenderaan asing yang memasuki negaranya mempunyai sekurang-kurangnya tiga suku tangki bahan api. Kegagalan mematuhi peraturan baharu ini, akan menyebabkan kenderaan terbabit tidak dibenarkan memasuki negara tersebut, laporan Borneo Post.

“Semua kenderaan pendaftaran asing yang memasuki Brunei Darussalam dikehendaki mengekalkan tahap bahan api minimum tiga suku tangki semasa masuk. Kenderaan asing yang tidak mematuhi keperluan ini tidak akan dibenarkan memasuki Brunei Darussalam,” menurut kenyataan Jabatan Tenaga (DOE) negara itu.

Walau bagaimana pun, DOE menambah, kenderaan rasmi kerajaan dikecualikan daripada keperluan tersebut, dan peraturan ini tidak terpakai kepada kenderaan berdaftar Brunei yang kembali dari Malaysia pada kemasukan pertama, namun ia akan dikuatkuasakan bagi kemasukan kedua dan seterusnya dalam tempoh 24 jam.

Brunei kuatkuasa peraturan tangki tiga suku bagi kenderaan asing sebelum memasuki negaranya

DOE turut berkata kenderaan asing di Brunei hanya dibenarkan membeli Shell V-Power Gasoline, yang kini berharga BND1.33 seliter (RM4.19), atau Shell V-Power Diesel (BND1.99, atau RM6.26) di stesen minyak terpilih pada kadar pasaran semasa. Sebagai perbandingan, Shell Premium berharga BND0.53 seliter (RM1.67), Shell Regular BND0.36 (RM1.13), dan Shell Diesel BND0.31 (RM0.98).

Jabatan itu turut menambah bahawa semua pengendali stesen minyak telah diarahkan untuk mematuhi prosedur pengesahan dengan ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan. “Tindakan akan diambil terhadap sebarang cubaan menggunakan nombor pendaftaran palsu atau yang diubah suai. Pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan secara aktif oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Jabatan tersebut menyatakan langkah ini bertujuan untuk melindungi bekalan petroleum negara susulan perkembangan geopolitik semasa di Timur Tengah.

The post Brunei kuatkuasa peraturan tangki tiga suku bagi kenderaan asing sebelum memasuki negaranya appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts