Ingat lagi kisah bagaimana Volvo menghasilkan kereta lumba BTCC berasaskan badan wagon di mana ia kelihatan seperti ‘bahan lawak’ pada permulaan, dan kemudiannya menggemparkan dunia sukan permotoran? Ini ada satu lagi kisah yang nampak macam lebih kurang sama yang mahu dimulakan oleh BMW.
Tahun lalu BMW menyiarkan imej buatan yang menayangkan sebuah wagon M3 Touring yang dijelmakan sebagai sebuah kereta lumba sebagai lawak April Fool. Namun tahun ini, ia bukan lagi lawak kerana jentera lumba wagon M3 Touring berkenaan sudahpun benar-benar di bina oleh BMW!
Jentera lumba ini dinamakan sebagai BMW M3 Touring 24H, dan seperti namanya ia bakal menyertai perlumbaan endurance 24 Jam, atau secara spesifiknya perlumbaan Nürburgring 24 Jam yang akan berlangsung pada 16 dan 17 May nanti. Namun sebelum itu, kereta lumba wagon ini akan terlebih dahulu berlumba di Nürburgring Langstrecken-Serie (NLS) minggu hadapan juga di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife tersebut.
Menurut BMW, keputusan untuk menghasilkan kereta lumba dalam badan wagon ini telah dimuktamadkan pada pertengahan 2025, dan selepas itu pembangunannya terus bermula membolehkan M3 Touring 24H siap dalam masa lapan-bulan.
Untuk jentera lumba M3 Touring kompetitif dalam perlumbaan-perlumbaan yang dirancang untuk disertai, ia perlu dihasilkan menurut regulasi FIA GT3. Ini bukan masalah kerana BMW telahpun mempunyai jentera lumba M4 GT3 Evo, secara asasnya menggunakan platform yang sama cuma badannya dalam versi coupe.
Jadi semua kelengkapan mekanikal M4 GT3 tersebut disalin pada badan wagon M3 Touring 24H berkenaan, termasuk enjin P58 2,993 enam-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 590 hp dan tork maksima 700 Nm bersama kotak gear enam kelajuan sequential dengan klac elektro-hidraulik yang memacu sepenuhnya roda belakang.
Dengan badan wagon, M3 Touring 24H ini adalah 200 mm lebih panjang dari M4 GT3 Evo, serta 32 mm lebih tinggi dari jentera lumba coupe tersebut termasuk spoiler gergasi yang dipadankan pada bahagian belakang wagon berkenaan. Ubahsuai yang dibuat pada kerangka badan wagon tersebut bermula pada tiang-A dan kebelakang termasuk pintu hadapan, manakala pintu belakang kini sudah tidak boleh dibuka kerana kini adalah sebahagian dari panel badan utama.
Perincian-perincian aerodinamik dari M4 GT3 Evo turut dibawa dan disesuaikan ke wagon M3 Touring 24H ini termasuk bampar hadapan, fender, panel sisi belakang, bumbung bampar belakang dan sebagainya.
BMW M3 Touring 24H ini akan berlumba di NLS di bawah pasukan Schubert Motorsport. Ia akan bersaing dalam kategori jemputan SPX, jadi ia tidak akan berada dalam kelas yang sama dengan tiga M4 GT3 Evo yang bersaing dalam kategori tertinggi SP9. Jentera ini akan dikendalikan oleh empat pemandu rasmi BMW iaitu Jens Klingmann, Ugo de Wilde, Connor De Phillippi, dan Neil Verhagen.
The post BMW M3 Touring 24H – dari lawak April Fool ke kereta lumba sebenar guna kelengkapan mekanikal M4 GT3! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































































