Selepas BMW M2 generasi kedua diberikan kemas kini pada Jun 2024 dan memasuki pasaran Malaysia hampir setahun kemudian, model G87 versi terbaru itu kini boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori M Performance bagi pemilik yang mahukan penampilan lebih garang untuk coupé dua pintu ini.
Pakej M Performance ini memberi tumpuan utama kepada aspek luaran G87, dengan penambahan pelbagai komponen gentian karbon. Di bahagian hadapan, ia merangkumi kemasan salur masuk udara hadapan pada harga RM21,821, penutup cermin sisi kiri dan kanan bernilai RM9,008 serta kemasan panel sisi lengkung roda hadapan dan belakang yang berharga RM9,882.
Di bahagian sisi dan belakang pula, antara komponen yang ditawarkan ialah kemasan tepi pintu kiri dan kanan pada harga RM10,419, spoiler belakang yang dipasang pada penutup but dengan harga RM24,243 serta sistem peredam bunyi yang merangkumi muncung ekzos titanium dan diffuser belakang bernilai RM56,771. Secara keseluruhan, set lengkap aksesori M Performance yang dipaparkan untuk BMW M2 G87 ini mencecah RM132,145.
Walaupun ternyata dalam risalah rasmi, set rim aloi aluminium forged bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang tidak terlihat dipasang pada model yang dipamerkan ini. Ia masih menggunakan set rim standard BMW M2, iaitu 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dipadankan dengan tayar bersaiz 275/35R19 dan 285/30R20.
Untuk pasaran tempatan, BMW M2 G87 hadir standard dengan bumbung M Carbon, selain kemasan gentian karbon tambahan di bahagian dalaman. Kelengkapan kabin termasuk tempat duduk M Sport, tali pinggang keledar M, kemasan bumbung anthracite, lampu tepi pintu, kawalan pendingin hawa tiga zon, sistem akses tanpa kunci, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana serta pad pengecasan tanpa wayar.
Sistem infotainmen pula merangkumi paparan instrumen digital 12.3 inci dan skrin sentuh infotainmen 14.9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Harman Kardon dengan 14 pembesar suara, lampu utama LED adaptif serta sistem pemantauan tekanan tayar.
Pakej M Performance ini tidak membawa sebarang perubahan kepada penggerak, dengan BMW M2 G87 masih menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris turbo 3.0 liter S58 yang menghasilkan 480 PS pada 6,250 rpm dan 600 Nm tork antara 2,650 rpm hingga 6,130 rpm. Kuasa disalurkan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan bersama differential M Sport.
Casis model ini terus dilengkapi suspensi M adaptif dan brek M Compound, manakala sistem M Drive Professional menawarkan pelbagai tetapan mod pemanduan mengikut citarasa pemandu.
Menurut laman web BMW Malaysia, BMW M2 G87 model tahun 2026 ditawarkan pada harga RM656,800 dengan jaminan standard dua tahun, atau RM699,100 dengan pakej jaminan lanjutan lima tahun bersama pelan servis.
The post BMW M2 G87 2026 – kemasan gentian karbon, ekzos titanium kini dalam pilihan barangan M Performance appeared first on Paul Tan’s Automotive News.










































































































