Ini merupakan penampilan pertama model BMW iX3 Long Wheelbase 2026 versi pasaran China, yang dibangunkan berasaskan platform Neue Klasse NA5 dan dihasilkan di Hungary. Persoalan yang timbul ialah sama ada model ini akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding versi jarak roda standard di Malaysia, memandangkan kenderaan elektrik buatan China hanya dikenakan duti import sebanyak 5% berbanding 30% bagi model dari negara lain.
Sebagai perbandingan, BMW iX1 versi standard yang diimport dari Jerman dijual sekitar RM250,000, manakala versi iX1 L buatan China dianggarkan berharga RM255,000. Namun begitu, harga anggaran lazimnya lebih tinggi berbanding harga pelancaran sebenar.
Dari segi fizikal, model iX3 Long Wheelbase ini tiba dengan jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 108 mm kepada 3,005 mm. Dimensi lain masih belum diumumkan, tetapi sebagai rujukan, versi standard mempunyai jarak roda 2,897 mm dengan panjang 4,782 mm, lebar 1,895 mm dan tinggi 1,635 mm.
Perubahan lain termasuk penggunaan pemegang pintu jenis tarik keluar, berbeza dengan rekaan tersembunyi atau “flush” yang tidak lagi dibenarkan di China. Di bahagian belakang, lencana iX350L pada pintu but dijangka eksklusif untuk pasaran tersebut, manakala spoiler bumbung kini dilengkapi kamera yang dipasang di tengah.
Dari sudut teknologi, model ini dijangka tampil lebih canggih dengan integrasi sistem seperti Huawei HarmonyOS Next, sokongan Alibaba dan model kecerdasan buatan DeepSeek, navigasi 3D Amap serta sistem bantuan pemandu (ADAS) Momenta yang direka khusus untuk pasaran China.
Untuk penggerak, iX3 ini masih menggunakan asas NA5 dengan sistem 800V, serta dua motor elektrik yang menghasilkan gabungan kuasa 469 PS dan tork 645 Nm. Ia turut dilengkapi bateri NMC berkapasiti 108.7 kWh, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW yang membolehkan tahap bateri 10 hingga 80 peratus dicapai dalam masa sekitar 21 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga disediakan.
Jarak pemanduan dianggarkan sekitar 900 km mengikut kitaran CLTC, sedikit berbeza dengan angka 805 km berdasarkan piawaian WLTP bagi versi jarak roda standard. Dari segi prestasi, versi standard mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat. Oleh itu, versi jarak roda panjang ini dijangka mencatat masa sekitar lima saat, dengan kelajuan maksimum berkemungkinan kekal pada 210 km/j.
The post BMW iX3 L didedah di China – versi jarak roda panjang akan tiba di Malaysia dengan harga lebih menarik? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























