Selepas lebih dua tahun berada dalam pasaran, kini BMW i5 eDrive40 M Sport Pro dilancarkan pula di Malaysia dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bagi menggantikan versi diimport sepenuhnya (CBU) yang telah pun mula dijual di sini sejak November 2023. Menurut BMW Malaysia, i5 eDrive40 M Sport Pro ini bukan sahaja merupakan model EV pertama BMW yang dipasang di Malaysia, malah yang pertama di rantau Asia Pasifik.
Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM368,800 dengan waranti standard selama dua tahun. Dengan status CKD, model ini masih menerima insentif pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027. Jadi berbanding versi CBU, versi CKD ini adalah sekitar RM30,000 lebih murah, dan ia menerima lebih banyak perincian.
Seperti sebelum ini, eDrive40 merupakan model asas berbanding varian M60 xDrive yang lebih berkuasa dan masih ditawarkan dalam versi CBU. Jadi ia kekal dipacu hanya oleh satu motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 340 PS dan tork maksima 430 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/dalam masa 6 saat dan mencapai kelajuan maksima pada 193 km/j.
Bagi versi 2026 ini, i5 eDrive40 M Sport Pro pasaran Malaysia ini menerima beberapa tingkat taraf unit rangkaian kuasa, antaranya penukar silikon karbida (SiC) yang dipertingkat serta teknologi bateri dan sistem pengurusan haba baharu yang merangkumi sistem pemulihan adaptif dan sistem pam haba pintar yang menguruskan suhu kabin, komponen pemanduan. Semua ini membolehkan bateri dengan kapasiti 83.9 kWj yang dibekalkan memberikan jarak gerak antara 513 hingga 627 km dalam ujian kitaran WLTP.
Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan pengecas AC 22 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 0-100% dalam masa 4 jam 15 minit. Sistem cas pantas DC juga boleh digunakan sehingga 205 kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80% hanya dalam hanya 34 minit.
Perincian mekanikal lain yang turut dibekalkan secara standard untuk i5 eDrive40 M Sport Pro CKD ini termasuk Suspensi Adaptif Profesional, dan juga sistem stereng roda belakang yang membelok sehingga 2.5 darjah, memberikan kestabilan, dan kemudahan pengendalian yang lebih baik.
Untuk perincian luaran, i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 ini diberikan gril hadapan Shadowline Iconic Glow yang kini datang dalam kemasan hitam berkilat hampir sepenuhnya, membezakan rupanya dari versi CBU sebelum ini yang diberikan kerangka gril kemasan perak.
Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan LED adaptif bersama lampu nyalaan siang yang diposisikan secara menegak. Versi CKD ini juga datang dengan pakej penggayaan M Sport Pro merangkumi spoiler belakang M dalam kemasan hitam berkilat, Shadowline M kemasan berkilat dan juga brek M Sport dengan angkup yang diberikan kemasan biru gelap metalik.
Pakej M Sport Pro ini juga menyaksikan i5 eDrive40 pasaran Malaysia kembali menerima rim aloi 20-inci (berbanding model kemaskini 2024 yang diberikan rim 19-inci) menerusi set rim M Aerodynamic Wheels 939M dalam kemasan dua tona Black Grey.
Penutup but belakang sedan ini boleh dibuka dan tutup dengan bantuan kuasa untuk akses kepada ruang kargo sebesar 490 liter. Tak cukup? Tempat duduk belakang i5 ini juga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 bagi memuatkan barang yang lebih panjang.
Masuk ke kabin, versi CKD ini juga menyaksikan ia kembali menerima bumbung panaromik kaca selepas perincian tersebut disisihkan pada versi kemaskini 2024. Bagi sistem infotainmen, hardware yang ditawarkan masih sama iaitu skrin melengkung BMW Curved Display yang merangkumi skrin sesentuh 14.9-inci dan juga paparan instrumen 12.3-inci.
Namun ia kini beroperasi menggunakan BMW OS 8.5 dengan QuickSelect, menampilkan peta navigasi yang dioptimakan, BMW Live Cockpit Professional, servis ConnectedDrive, BMW Intelligent Personal Assistant serta Digital Key Plus dengan Ultra Wideband yang dioptimakan keselematannya (UWB), serta kamera dalaman dengan paparan jarak jauh melalui aplikasi
My BMW.
Ia turut digandingkan dengan sistem bunyi Surround Bowers & Wilkins dengan 18 pembesar suara dan amplifier 655 watt, digabungkan dengan BMW IconicSounds Electric, yang menurut BMW akan “memberikan pengalaman akustik yang mengasyikkan kepada pemandu serta penumpang.”
Kabin i5 eDrive40 M Sport Pro ini hadir dengan serlahan-serlahan Dark Silver M, digandingkan dengan kemasan-kemasan gentian karbon serta perak berkilat serta upholsteri kulit Merino. Perincian-perincian dalaman lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk hadapan sport dengan sokongan lumbar kawalan elektrik dengan fungsi memori, sistem penghawa dingin empat zon, tirai matahari jenis gulung serta bar interaksi BMW dengan lampu suasana dinamik.
Ia juga menerima beberapan perincian dalaman M termasuk roda stereng balutan kulit M, tali pinggang keledar M serta pelapik bumbung antrasit M. Namun untuk versi CKD ini, ia tidak lagi diberikan tempat duduk berliang.
Untuk keselamatan, BMW i5 eDrive40 M Sport Pro CKD ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) BMW Driving Assistant Professional, yang merangkumi fungsi seperti Kawalan Jarak dengan fungsi Berhenti & Jalan serta Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong Bantuan Had Kelajuan, Perlindungan Pelanggaran Sisi dengan pengembalian aktif, Amaran Keutamaan Jalan dan Amaran Salah Arah, Amaran Lalu Lintas di hadapan dan belakang dengan fungsi brek, fungsi bantuan lorong kecemasan serta bantuan hentian kecemasan.
Sistem Parking Assistant Plus juga diberikan secara standard yang diberikan fungsi pemantauan permulaan, Kamera Bantuan Undur, Bantuan Undur, Paparan Parkir, Paparan Panorama Hadapan, Fungsi Paparan 3D, Paparan 3D Kawalan Jauh, Perakam Pemanduan BMW dan Perakam Anti-Kecurian.
BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 pasaran Malaysia ini boleh dipilih dalam lima warna badan iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, Phytonic Blue Metallic dan juga Oxide Grey Metallic.
GALERI: Foto rasmi BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 CKD
The post BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 dilancar – EV BMW CKD pertama di M’sia, RM368,800, RM30k lebih murah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


































































































































