BMW Group Malaysia mengumumkan bahawa sepanjang tahun 2025, lebih 10,800 kenderaan daripada jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad berjaya dijual di pasaran tempatan. Angka ini menunjukkan penurunan kira-kira 20 peratus berbanding lebih 13,500 unit yang direkodkan pada 2024. Pada tahun itu juga jualan menurun 10 peratus berbanding tahun 2023. Penurunan ini tetap berlaku meskipun BMW Group Malaysia sudah memperkenalkan sebanyak 37 model dan varian baru pada 2025, iaitu 10 model lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah keseluruhan jualan, 55 peratus adalah kenderaan pemasangan tempatan atau CKD, menurun daripada 66 peratus pada 2024. Melihat kepada jumlah sebenar, perbezaan ini adalah sekitar 3,000 unit, selari dengan penurunan keseluruhan jualan.
Prestasi kenderaan elektrik (EV) pula kekal mendatar dengan lebih 2,700 unit didaftarkan merangkumi ketiga-tiga jenama. Namun begitu, peratusan EV dalam keseluruhan jualan meningkat kepada 25.2 peratus berbanding 20.6 peratus pada 2024, disebabkan jumlah pasaran yang lebih kecil. Walaupun begitu, BMW Group Malaysia masih mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran EV premium di Malaysia, gelaran yang dipegang sejak 2020.
Bagi jenama BMW, lebih 7,700 unit kenderaan dijual pada 2025, penurunan sebanyak 27 peratus atau kira-kira 2,800 unit berbanding tahun sebelumnya. Data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sebanyak 7,876 unit BMW didaftarkan, menjadikan anggaran bahagian grey market atau kenderaan recond sekitar 2.2 peratus.
Model BMW paling laris pada 2025 sekali lagi adalah 3 Series dengan jualan melebihi 1,300 unit, walaupun mencatatkan penurunan hampir 50 peratus dari tahun ke tahun. Daripada jumlah ini, hampir 300 unit adalah varian 320i Sport yang dilancarkan pada bulan Jun.
Model BMW kedua dan ketiga paling laris masing-masing adalah 5 Series dan X1. BMW 5 Series mencatatkan lebih 1,240 unit dengan peningkatan ketara sebanyak 57 peratus atau sekitar 450 unit, manakala X1 mencatatkan lebih 1,200 unit walaupun menurun 20 peratus berbanding 2024.
Dalam segmen SUV, X1 kekal sebagai model paling laris untuk BMW. Bagi kenderaan elektrik BMW, iX2 muncul sebagai EV paling laku dengan lebih 460 unit, diikuti i5 dengan lebih 450 unit dan peningkatan 10.8 peratus, serta iX1 dengan lebih 340 unit dan lonjakan 41.1 peratus. Baru-baru ini, i5 mencipta sejarah sebagai EV BMW pertama pemasangan tempatan di Malaysia dan rantau Asia-Pasifik, manakala iX1 menerima tambahan varian jarak roda panjang.
Jenama MINI pula mencatatkan jualan melebihi 1,500 unit pada 2025, meningkat 8.7 peratus atau kira-kira 100 unit berbanding 2024. Namun begitu, prestasi ini tidak mencukupi untuk mengekalkan MINI dalam senarai 20 jenama terlaris tahunan di Malaysia.
Model MINI paling laris adalah Countryman dengan jualan melebihi 900 unit, meningkat 36 peratus atau sekitar 240 unit, termasuk lebih 200 unit versi elektrik. Ini diikuti oleh Aceman dengan 330 unit dan Cooper dengan 250 unit. Secara keseluruhan, MINI menjual lebih 700 unit EV pada 2025, peningkatan 15.2 peratus, dengan EV merangkumi hampir separuh daripada jumlah MINI yang dihantar kepada pelanggan.
Dalam segmen dua roda, BMW Motorrad mencatatkan penghantaran melebihi 1,600 unit pada 2025, meningkat 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Segmen Adventure menyumbang lebih 990 unit dengan pertumbuhan kukuh sebanyak 30.6 peratus, diterajui oleh R 1300 GS Adventure.
Segmen Mobiliti Bandar pula mencatatkan lebih 400 unit dengan peningkatan lapan peratus, diterajui oleh skuter elektrik CE 04 yang mencatatkan lebih 120 unit dan lonjakan 68 peratus. Secara keseluruhan, BMW Motorrad menghantar lebih 170 motosikal elektrik pada 2025, termasuk model CE 02, dengan pertumbuhan 18.5 peratus.
Dari segi infrastruktur pengecasan, BMW Group Malaysia kini menawarkan akses kepada lebih 2,000 kemudahan pengecasan hasil kerjasama dengan rakan seperti Gentari, ChargEV, Yinson Greentech dan JomCharge. Selain itu, terdapat lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI di pengedar sah serta lokasi rakan kongsi di seluruh negara, dengan rancangan pengembangan lanjut bermula 2026 dan seterusnya.
BMW Group Financial Services Malaysia pula membiayai lebih 4,440 kenderaan pada 2025, bersamaan kadar penembusan 41 peratus, termasuk lebih 1,200 transaksi yang dilakukan secara digital. Menariknya, unit ini mencatatkan kadar penembusan tertinggi bagi BMW Motorrad di rantau Asia-Pasifik pada 67.7 peratus.
Dalam aspek eksport, BMW Group Malaysia telah menjual lebih 11,800 kenderaan ke Filipina dan Thailand setakat ini, mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport kenderaan premium terbesar dari Malaysia. Sebagai langkah pengukuhan operasi, syarikat turut bekerjasama dengan Neptune Reliance untuk membangunkan sebuah pusat pengedaran kenderaan di Selangor dengan keluasan binaan hampir 49,000 meter persegi dan kapasiti sehingga 3,000 kenderaan.
Kemudahan ini akan dilengkapi sistem parkir hidraulik mekanikal serta ruang pengecasan EV, dengan pembinaan bermula pada Oktober 2025 dan operasi dijangka bermula pada Januari 2027.
The post BMW Group Malaysia jual lebih 10,800 buah kenderaan pada tahun 2025 – turun 20% berbanding tahun 2024 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































