Undang-undang emisi yang semakin ketat di benua Eropah telah menyebabkan banyak kereta-kereta prestasi dengan enjin pembakaran dalaman terpaksa digandingkan dengan sistem elektrifikasi hibrid, dikecilkan kapasiti enjin, dan paling malang ada model yang perlu dihentikan jualannya di sana.

Namun menurut CEO BMW M Frank Van Meel dalam laporan Autocar, sayap prestasi rasmi BMW tersebut bakal menempuh undang-undang emisi yang lebih ketat di sana iaitu piawaian Euro 7 M dengan barisan enjin-enjin enam-silinder sebaris dan juga V8, tanpa mengecilkan kapasiti dan masih menghasilkan kuasa besar yang sama.

Laporan itu menyebut tahap emisi untuk piawaian Euro 7 kelak sebenarnya masih sama dengan Euro 6e yang sedang digunakan sekarang, namun apa yang berubah adalah ujian yang dijalankan adalah lebih sukar dan lebih menggambarkan penggunaan dalam dunia sebenar.

Ini termasuklah tahap emisi yang dihasilkan tersebut perlu kekal mematuhi piawaian selama 10 tahun atau 200,000 km, iaitu sekali ganda lebih lama dari undang-undang Euro 6e. Malah dalam ujian Euro 7 ini juga turut akan memantau emisi yang dihasilkan oleh brek dan juga tayar buat pertama kali.

BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar

“Cabarannya bukan berkisar untuk enjin tersebut mencapai piawaian EU7, tetapi untuk mengekalkan prestasinya,” kata Van Meel.

“Cerita keseluruhannya adalah berkisar memandu dengan lambda 1 – iaitu ketika nisbah campuran udara dan bahan api dalam nisbah sempurna – jadi anda perlu memastikannya, dan ia tiada penyejuk. Lazimnya jika anda berada dalam situasi prestasi tinggi, anda menyejukkannya menerusi bahan bakar. Dengan EU7, ini adalah mustahil, anda perlu cara lain bagi mengelakkan penghasilan haba yang semakin tinggi, katanya.

“Proses pembakaran perlu dipertingkat dari segi mengelakkan suhu ini terus meningkat, dan ini adalah cabarannya. Sudah tentu anda boleh mengurangkan prestasi bagi mengelakkkn kenaikan suhu ini, tetapi anda tidak mahu – disitu di mana kita bermula. Keseimbangan prestasi baharu dapat dicapai sekiranya kita memandu dalam keadaan Lambda 1, tetapi kami tidak mahu ia hilang kuasa pretasi,” tambahnya,

Walau bagaimanapun BMW M belum menjelaskan apa perubahan yang akan ditampilkan pada enjin-enjin tersebut bagi mencapai sasaran ini, namun Van Meel menyatakan bahawa syarikatnya telah melakukan perubahan “yang sangat menarik” dan ia akan didedahkan kelak.

BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar

“Enjin enam silinder adalah warisan kami, dan V8 mempunyai sejarah yang panjang dalam perlumbaan, jadi kami berhasrat untuk meneruskannya,” kata Van Meel. Beliau turut mengesahkkan bahawa BMW M turut tidak akan mengecilkan kapasiti enjin dengan mungurangkan jumlah omboh seperti kepada hanya tiga atau empat silinder, atau menggunakan lebih elektrifikasi untuk mengurangkan emisi.

Enjin-enjin lebih kecil dengan penambahan sistem elektrifikasi tidak dapat mencapai “pemikiran yang sangat spesifik” untuk bagaimana BMW M mahu kereta-kereta mereka dipandu, bila tork perlu disampaikan, kadar putaran enjin dan juga berat kenderaan itu.

“Saya tak boleh bayangkan untuk letak enjin empat-silinder pada M5,” kata Meel lagi.

The post BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts