BMW 7 Series generasi G70 sebelum ini menjadi model yang mencuri perhatian apabila sedan mewah itu tampil dengan rekaan gril “double kidney” yang sangat besar, sehingga dianggap antara yang paling ekstrem pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Munich itu.

Ketika dilancarkan, reka bentuk tersebut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk kritikan dan juga bahan jenaka di internet. Dengan kemunculan versi facelift yang dijangka diperkenalkan bulan depan, ramai menjangkakan BMW mungkin akan mengubah pendekatan reka bentuk tersebut.

Namun begitu, teaser terbaru yang didedahkan menunjukkan BMW masih mengekalkan identiti tersebut, malah bahagian hadapan sedan mewah itu dijangka kelihatan lebih menyerlah menerusi kemas kini yang dikenali sebagai Life Cycle Impulse (LCI) dalam istilah BMW.

Gril “double kidney” yang besar itu masih kekal, dan seperti pada model BMW X3 terbaru, bingkai gril kini dilengkapi pencahayaan yang mengelilingi keseluruhan bentuknya, berbanding sebelum ini yang hanya menyala pada bahagian tertentu.

BMW 7 Series facelift 2026 ditunjuk dalam teaser

Rekaan gril juga dilihat lebih bersudut dan membentuk dua oktagon besar. Di bahagian sisi, ia dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang lebih nipis dan mendatar, menyerupai bentuk kening, yang dikatakan masih menggunakan elemen kristal Swarovski.

Sementara itu, lampu utama masih diletakkan pada unit berasingan di bahagian lebih bawah. Secara keseluruhan, rekaan bahagian hadapan ini memberikan penampilan yang sangat dominan dan mudah dikenali, terutama apabila dilihat melalui cermin pandang belakang kenderaan lain.

Buat masa ini, tidak banyak perincian lain yang didedahkan, namun model flagship BMW ini dijangka dilengkapi teknologi terkini daripada pengeluar tersebut. Antaranya termasuk sistem Panoramic iDrive baharu yang pertama kali diperkenalkan pada model Neue Klasse iX3. Sistem ini menggabungkan paparan Panoramic Vision yang dipancarkan sepanjang lebar papan pemuka bersama skrin sentuh infotainmen bersaiz 17.9 inci.

Selain itu, skrin hiburan belakang Theatre Screen bersaiz 31.3 inci dengan resolusi 8K dijangka terus ditawarkan. Skrin gergasi ini sebelum ini menjadi salah satu tarikan utama dalam 7 Series, malah konsepnya turut diikuti pesaing seperti Mercedes-Benz menerusi model VLE terbaru mereka.

BMW 7 Series facelift 2026 ditunjuk dalam teaser

Dari segi rangkaian kuasa, 7 Series facelift dijangka terus menggunakan pilihan enjin enam silinder dan lapan silinder sedia ada, termasuk varian plug-in hybrid yang telah dikemas kini bagi memenuhi piawaian pelepasan Euro 7 yang lebih ketat.

Bagi varian elektrik i7 pula, ia dijangka menerima teknologi bateri dan motor elektrik terbaru daripada platform kenderaan elektrik Neue Klasse, yang berpotensi menawarkan prestasi lebih baik serta jarak pemanduan yang lebih jauh. Selain itu, BMW juga dijangka memperkenalkan seni bina elektrik 800 volt bagi menyokong pengecasan pantas DC yang jauh lebih berkuasa, sehingga sekitar 400 kW seperti yang dirancang untuk model Neue Klasse.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan turut menyebut bahawa 7 Series baru ini bakal melahirkan model pertama daripada jenama Alpina selepas syarikat tersebut diambil alih oleh BMW. Model berkenaan dijangka dikenali sebagai Alpina B7 generasi baru.

Jenama prestasi yang terkenal dengan fokus kepada keselesaan itu dijangka akan bersaing dengan barisan Mercedes-Maybach, dengan menawarkan kuasa lebih tinggi, talaan suspensi yang lebih halus, kabin mewah berbalut kulit serta rekaan moden bagi elemen ikonik Alpina seperti rim 20 jejari dan jalur grafik pada bahagian sisi badan kenderaan.

The post BMW 7 Series facelift 2026 ditunjuk dalam teaser appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts