Pengedar rasmi kenderaan jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor telah mengemaskini harga bagi beberapa model jenama Jepun tersebut, termasuk CX-80, CX-8, CX-5 dan CX-30. Kemaskini berkenaan sebenarnya telah berkuatkuasa 15 September lalu, bermakna harga baharu untuk keempat-empat model tersebut telahpun digunakan sejak sekitar dua minggu lalu.
Berita baik untuk yang berminat untuk membeli SUV segmen-C Mazda CX-5, harga bagi model tersebut kini sudahpun turun RM10,000 untuk semua varian yang ditawarkan. Oleh itu varian asas CX-5 2.0 Mid kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM134,469.20, diikuti oleh varian 2.0 High dan 2.5 High yang kini masing-masing dijual pada harga RM151,469.20 dan RM164,960.40.
Manakala varian tertinggi untuk CX-5 dengan enjin petrol iaitu 2.5T High AWD yang suap pengecas turbo serta dibantu sistem AWD pula dijual pada harga RM178,760.40. Dan akhir sekali varian dengan enjin turbodiesel pula kini boleh dibeli pada harga RM170,322.80, atau RM10,000 lebih murah dari sebelum ini.
Beralih kepada Mazda CX-8, tiga dari lima varian SUV dengan tiga baris tempat duduk tersebut kini dijual pada harga RM20,000 lebih murah dari sebelumnya. Varian-varian tersebut termasuk CX-8 2.5 Mid kini dijual pada harga RM170,322.80, 2.5 High kini berharga RM171,360.40 dan 2.5 High Plus pula kini berharga RM186,360.40. Namun harga bagi dua varian tertinggi model ini iaitu versi petrol turbo 2.5T High Plus AWD dan turbodiesel 2.2D High Plus masih tidak berubah dijual pada harga masing-masing RM221,360.40 dan RM213,122.80.
Bagi SUV lebih kecil CX-30 pula ia kini adalah RM5,000 lebih murah untuk majoriti variannya. Ia termasuk CX-30 2.0L High yang kini dijual pada harga RM213,122.80, 2.0L High+ kini berharga RM144,409 dan 2.0L High+ Premium kini dijual pada harga RM154,409. Varian asas 2.0L juga kini dijual lebih murah, namun dengan penurunan RM3,000 kepada RM128,409.
Harga bagi SUV CX-60 yang baru sahaja dilancarkan bulan lalu dalam varian tunggal 2.5 2WD High masih lagi sama iaitu RM210,510.40. Namun satu lagi model platform baharu Mazda yang turut dilancarkan pada hari yang sama iaitu CX-80 kini dijual RM35,000 lebih murah iaitu RM296,610.40 berbanding harga asal RM331,610.40. CX-80 pasaran Malaysia menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid dan juga pacuan semua roda.
Menerusi laman web rasmi Mazda Malaysia, kami juga mendapati dua model Mazda sudah tidak lagi ditawarkan di sini iaitu Mazda 2 dan juga trak pikap BT-50. Manakala model lain termasuk Mazda 6, CX-3 dan MX-5 RF masih lagi boleh dibeli oleh pelanggan di Malaysia.
The post Bermaz turunkan harga SUV Mazda di Malaysia – CX-5 RM10k lebih murah, CX-80 turun sehingga RM35k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.